BEKAS penyerang berbisa Harimau Malaya, Mohd Safee Mohd Sali berkongsi tiga jaringan yang disifatkan memori bagi dirinya sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.
Pertama adalah apabila dia berjaya menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan akhir pertama Piala AFF 2010 apabila berjaya menanduk kencang untuk gol ketiga Harimau Malaya ketika berdepan Indonesia.
Momen kedua adalah ketika dia berjaya menjaringkan satu gol bicycle kick ketika aksi bertemu East Bengal dan gol jaringannya pernah tercalon sebagai satu gol akrobatik terbaik peringkat Asia.
Momen indah terakhir apabila dia berjaya menjaringkan gol di tempat lawan dengan menggunakan rembatan kaki kiri untuk Malaysia mendahului Indonesia 4-0 menerusi agregat di Stadium Gelora Bung Karno.
“Itu adalah jaringan yang saya ingin lakukan di hadapan seluruh rakyat Malaysia. Ianya terjadi dan itu memang saya punya pilihan melakukan jaringan melalui scoring header.
ARTIKEL BERKAITAN: Mat Yo Rasa Kehilangan Safee
“Kedua adalah jaringan bicycle kick ketika saya bermain bersama JDT pada Piala AFC 2015 bertemu East Bengal. Ia satu bicycle kick dan pernah tercalon sebagai satu jaringan akrobatik terbaik dalam Asia.
“Ketiga adalah ketika saya bermain dalam aksi akhir pada 2010 dengan menggunakan kaki kiri on the run shoot top corner, ketika bertemu Indonesia,” jelasnya.
Selain jaringan, rakan penyerang yang paling tersemat di ingatan Safee sehingga kini adalah dua nama yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia iaitu pemain versatil, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta pemain lincah, Norshahrul Idlan Talaha.
Menurut Safee, dua individu ini memiliki kelebihan dan keserasian tersendiri ketika digandingkan dengannya ketika mengatur jentera serangan pasukan.
“Rakan di bahagian serangan tentunya sewaktu saya berada di puncak prestasi sudah tentu Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebab saya memang mengidolakan Akmal Rizal dan apabila saya berjaya bergandingan dengannya, saya rasa berbangga dan amat bertuah,” katanya.