KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea mengadakan mesyuarat tergempar antara barisan pengurusan pasukan dengan pengurus yang kini dibawah tekanan, Graham Potter.
Namun begitu, mesyuarat itu berlangsung tanpa kehadiran pemilik Chelsea Todd Boehly dan Behdad Eghbali tetapi ianya mendapat restu daripada kedua-dua pemilik kelab London itu.
Dalam pertemuan di Cobham itu, Graham Potter dan barisan kejurulatihan bertemu dengan Christopher Vivell selaku Pengarah Teknikal kelab untuk membincangkan hala tuju kelab yang kini sedang bergelut.
Selain itu, pertemuan itu juga membincangkan strategi pasukan sama ada di dalam dan luar padang selain mengenai hal kesejahteraan pasukan supaya menjadi lebih positif sepanjang tahun ini.
Potter juga turut ditanya apa perancangannya untuk memulihkan semula prestasi Chelsea yang kini terumbang ambing dan dia juga mendapat sokongan daripada pengurusan kelab.
Namun jika hingga akhir musim Chelsea tidak menunjukkan sebarang perubahan yang signifikan berdasarkan perancangan Potter, ada kemungkinan dia akan ditunjukkan jalan keluar dari Stamford Bridge.
Full-time.#CheSou pic.twitter.com/PtlUTmBDlE
— Chelsea FC (@ChelseaFC) February 18, 2023
Chelsea hanya berjaya meraih satu kemenangan dari 10 perlawanan terakhir sekaligus menambahkan tekanan buat Potter dan ianya bertambah buruk apabila The Blues tewas 1-0 kepada kelab di tangga terbawah, Southampton.
Meskipun ramai penyokong yang mendesak Potter dipecat, namun begitu, pihak pengurusan Chelsea tidak mahu melakukan perkara itu kerana ianya melibatkan jumlah pembayaran ganti rugi yang sangat tinggi dan ini yang menyebabkan mereka masih mengekalkan Potter sehingga kini.
Jika Potter dipecat, Chelsea perlu membayar baki kontraknya bernilai £60 juta kerana dia mempunyai baki kontrak sehingga 2027.