KELAB Bola Sepak PIB Shah Alam sedia mempertahankan gelaran kejuaraan Liga M3 yang dimenangi musim lalu sambil tidak menafikan kemampuan pasukan lain.
Dianggap pasukan pilihan, skuad yang dibimbing Yusrizal Yusoff telah menjalani beberapa perlawanan persahabatan berdepan pasukan berpengkalan di Utara dan Timur.
Merealisasikan hasrat mengekal kejuaraan, PIB Shah Alam FC telah mendaftarkan 30 pemain dengan 11 pemain lama dikekalkan manakala bakinya merupakan bakat-bakat baharu serta beberapa pemain berpengalaman.
Bagi Yusrizal, sasaran pengurusan agar kejuaraan dikekalkan selain melangkah lebih jauh kini menjadi matlamat utama barisan pemain dan kejurulatihan.
Jelasnya, keputusan mendaftar 30 pemain adalah wajar memandangkan saingan Liga M3 dijalankan secara timbal balik (liga) yang membabitkan 14 pasukan.
ARTIKEL BERKAITAN : Aksi sengit! PIB FC akhirnya dinobatkan juara Liga M3 2022
“Langkah ini bagi memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik apabila diturunkan beraksi kerana kita melihat saingan musim ini agak mencabar dan sengit dari semua pasukan.
“Kami telah bersedia mempertahankan gelaran dan menantikan saingan bermula,” katanya dalam Facebook AFL.
Tambahnya lagi, Yusrizal melihat Harini Selangor FT, Imigresen FC dan Sains FC antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan musim ini.
“Begitu juga saya lihat Manjung City FC,” jelasnya yang akan menentang Manjung City FC pada aksi pertama Liga M3 musim ini.