PERTAHANAN Sepanyol, Sergio Ramos mengesahkan dia bakal bersara sebagai pemain bola sepak pasukan kebangsaan Sepanyol setelah khidmatnya tidak lagi diperlukan jurulatih baharu, Luis de la Fuente.
Pemain berusia 37 tahun itu membuat satu hantaran surat terbuka di ruangan media sosial menyatakan bahawa jurulatih baharu skuad La Roja itu enggan memerlukan khidmatnya lagi bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
“Sudah tiba masanya, masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan Sepanyol, pasukan yang sangat mengujakan La Roja.
“Pagi ini, saya terima panggilan dari jurulatih baharu kami, dia memberitahu bahawa dia tidak lagi memerlukan saya dalam skuad disebabkan tahap saya sudah tidak mampu berada di puncak prestasi.
“Dengan penuh sebak, inilah penghujung karier saya bersama skuad kebangsaan yang telah saya raih banyak kemanisan selama berkhidmat bersama pasukan kebangsaan,” ujar Ramos.
Dalam pada itu, dia turut berasa agak cemburu dengan bintang Argentina, Lionel Messi dan Luka Modric kerana masih mampu beraksi bersama skuad kebangsaan meskipun usianya telah lanjut.
“Saya agak cemburu sebenarnya dengan Messi, Modric dan Pepe kerana meskipun dia telah menjangkau usia penghujung karier namun khidmatnya masih lagi diperlukan.
“Tetapi inilah bolasepak, apabila anda tidak mampu berada pada tahap sepatutnya, anda akan disingkirkan.
“Muda atau tua bukanlah soalnya kerana ramai sahaja pemain berumur yang masih mampu cergas sepenuhnya, malangnya saya sudah tidak cergas dan persembahan sudah tidak seperti dahulu,” katanya dengan nada kecewa.
Untuk rekod, pertahanan Paris Saint-Germain itu berjaya merangkul gelaran Piala Dunia 2010 serta dua kali Juara Eropah pada 2008 dan 2012.
Ramos telah membuat penampilan bersama Sepanyol sebanyak 180 kali dan kali terakhir menyarung jersi La Roja pada Mac 2021.