PERTEMBUNGAN Kuala Lumpur City FC melayan kunjungan Penang FC dalam aksi awal Liga Super pastinya menagih perhatian peminat bola sepak tanah air.
Bagi skuad ibu kota atau lebih dikenali dengan Kuala Lumpur City FC pastinya ingin meneruskan kempen cemerlang pada dua musim sebelum ini apabila turut dinobatkan sebagai naib juara Piala AFC 2022s setelah tumbang kepada Al-Seeb 0-3.
Bukan itu sahaja, malah pasti masih ramai yang masih terngiang-ngiang bagaimana skuad kendalian Bojan Hodak mampu meranapkan ego Johor Darul Ta’zim dengan menumpaskan Harimau Selatan 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 sekaligus menamatkan penantian 32 tahun KL City FC.
Berbekalkan rekod tersebut serta ditambah dengan beberapa penyerang import baharu di bahagian jentera serangan seperti Herlison Caion dan Tchetche Kipre, skuad The City Boys sudah pasti menjadi antara pasukan pilihan dalam meneruskan momentum gemilang kelab tersebut.
Gandingan di bahagian tengah dengan kombinasi Kenny Pallraj berserta Zhafri Yahaya juga sudah pasti menjadi duri dalam daging kepada pasukan yang bakal ditentang skuad kali ini.
Di bahagian pertahanan, pemain tonggak, Giancarlo Galifuoco serta Declan Lambert sudah pasti ingin membuktikan bahawa dia masih mampu menggagalkan beberapa percubaan merbahaya pihak lawan.
Di posisi penjaga gol, nama yang amat sinonim dengan KL City FC , kemungkinan besar Kevin Ray Mendoza serta Azri Ghani bakal menjadi taruhan hebat pengendali, Bojan Hodak.
Manakala, bagi pasukan Penang FC, pengendali baharu, Manzoor Azwira Abdul Wahid sentiasa menyatakan bahawa pasukan mereka masih belum berada pada tahap sebenar dan memerlukan lebih banyak penambahbaikan dari segi prestasi pemain.
Biarpun Penang FC boleh dianggap lulus dan sedang melengkapkan persediaan untuk cuba tampil sebagai salah satu pasukan pencabar musim ini, namun sikap Manzoor wajar merendah diri wajar diberi kredit.
Dua kemenangan dalam saingan Piala Harapan sudah membuktikan bahawa pasukan tersebut bukanlah hanya berangan-angan kosong namun mereka membuktikan dengan menewaskan pasukan kuat seperti Selangor FC.
Jentera serangan skuad Harimau Kumbang memiliki pemain berkualiti dari Lubnan, Soony Saad, Adriano Narcizo serta pemain tempatan, Nik Akif Syahiran.
Di bahagian tengah skuad tersebut, Ousmane Fane dan Hadin Azman pastinya antara watak penting yang menjadi percaturan Manzoor untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.
Benteng pertahanan Harimau Kumbang bakal mempertaruhkan khidmat dua awang import, masing-masing dari Myanmar dan Korea Selatan, An Sae Hee serta Zaw Min Tun.
Di posisi penjaga gol, tugas tersebut jelas bakal digalas penjaga gol tempatan, Azfar Arif yang dilihat cemerlang menggagalkan beberapa percubaan merbahaya pasukan lawan semasa kempen persahabatan sebelum liga bermula.