MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai mesra masyarakat sukan, dengan dua elemen yang berobjektifkan penyertaan meluas sektor swasta.
Menurut Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah dirangka khas bagi menggalakkan tajaan sektor swasta untuk tujuan pembangunan sukan yang berteraskan perpaduan.
“Bajet 2023 bersifat mesra masyarakat sukan kerana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menyediakan dana untuk menggalakkan pembabitan sektor swasta tetapi juga mengenakan potongan cukai bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada badan bukan berasaskan keuntungan yang boleh membangunkan sukan di peringkat akar umbi.
“Adalah jelas bahawa peruntukan sukan dalam Bajet 2023 sejajar dengan hasrat MOM dalam mempromosi nilai-nilai murni sejagat menerusi industri sukan yang mampan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Norza berkata, dana geran padanan sejumlah RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk sukan yang berteraskan perpaduan dan penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan menggambarkan iltizam Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan sukan sebagai ejen penyatuan sebenar.
“Peruntukan RM324 juta untuk menambah baik program latihan dan kemudahan sukan sedia ada juga adalah penting untuk penyediaan Kontinjen Malaysia yang ampuh menjelang dua Temasya Pelbagai Sukan utama tahun ini, iaitu Sukan Asia Tenggara Ke-32 di Kemboja pada 5-17 Mei 2023 dan Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China pada 23 September-8 Oktober 2023,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : PM umum dana RM324 juta program latihan dan kemudahan sukan
Jelas Mohamad Norza, potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat yang akan dinikmati oleh individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan harus membuka laluan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan untuk menjalin kerjasama erat dengan sektor swasta.
“Ini juga selari dengan saranan MOM agar satu mekanisme baharu digarap bagi memastikan penaja menerima pengecualian cukai tertentu apabila menyumbang kepada industri sukan
“Dalam pembentangan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar Ibrahim menganggap sukan sebagai satu wahana yang ampuh dalam menyemarak kebhinekaan dalam kalangan rakyat yang rencam kaum dan agama,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : “Pengiktirafan terhadap bekas atlet” – Yakeb
Menurut Mohamad Norza, dana RM5 juta yang dikhaskan untuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bermula 2023 berserta insentif cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu para atlet menguruskan kehidupan selepas persaraan.
“MOM berserta seluruh warga sukan tanah air berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah membentangkan Bajet 2023 bersifat sejagat dengan mengutamakan program-program berteraskan perpaduan serta membela nasib atlet,” ujarnya.