FOTO : KDA FC
AKSI ‘derby’ membabitkan dua pasukan utara, Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berakhir kekalahan 1-4 untuk pasukan bimbingan Datuk Lim Teong Kim pada perlawanan pertama Liga Super 2023 di Ipoh, sebentar tadi.
Ibarat dua pendekar yang bertemu di tengah gelanggang, masing-masing turun dengan pelbagai helah dan tipu muslihat daripada dua taktikal yang berbeza.
Bagaimanapun, Perak berjaya mengejutkan pelawat yang dibarisi sekelompok pemain ternama lawan seawal minit ketiga menerusi sentuhan jaringan Mohamad Ikwan Hafizo, selepas menerima hantaran lintang daripada Hadi Fayyadh.
Selepas gol itu, kedua-dua pasukan turun dengan penuh hati-hati dan waspada dalam usaha mencari kemenangan termasuk beberapa insiden ketegangan antara kedua pemain.
LIGA SUPER 2023
FT: Perak FC 1-4 KDA FC
⚽ Ikwan Hafizo 3'
⚽ Lee Tuck 16', Willian Lira Sousa (P) 67', Ariff Farhan Md Isa 84', Jonathan Boareto 90'#LigaSuper2023#kejoryeobkejor#pulunkedahpulun pic.twitter.com/3HoW5o7jjw— Flash Sukan (@FlashSukan) February 25, 2023
KDA FC yang tidak patah semangat terus menggandakan usaha, dan akhirnya pemain tengah kebangsaan Lee Tuck kembali bangkit menceriakan pasukan dengan gol penyamaan m-16.
Sedikit berlaku kekecohan segelintir penyokong namun tindakan pihak berkuasa yang segera meleraikan keadaan berjaya mengelakkan insiden tidak diingini.
Perak juga terpaksa bermain kekurangan seorang pemain apabila Ahmad Haziq Ahmad Puad dilayangkan kad merah oleh pengadil sebelum berakhirnya babak pertama.
Kira-kira 15,106 yang hadir pada perlawanan pada malam ini terhibur aksi dihidangkan termasuk layangan dua kad merah diterima pemain tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Teong Kim menukar beberapa pemain dalam usaha menambahkan lagi gol tambahan tetapi serangan bertali arus disekat pertahanan lawan.
Kedah di depan apabila penyerang Brazil, Willian Lira Souza menyempurnakan sepakan penalti m-66 selepas kapten pasukan, Manuel Gelito Ott dikasari pemain Perak.
Tidak lama selepas itu, terjahan keras Sunday Kolawole Afolabi ke atas pemain lincah Sang Kenari, Manuel Hidalgo mengakibatkan dirinya dibuang padang ketika Perak cuba mengasak memburu jaringan penyamaan.
Sisa kebangkitan Perak dilenyapkan oleh Ariff Farhan Md Isa yang meledak kencang bola dari luar kotak penalti menewaskan Tian Keat See pada baki 10 minit terakhir sebelum pemain gantian, Jonathan Boareto melengkapkan kemenangan sensasi KDA FC pada masa kecederaan.