PASUKAN Sabah FC memulakan kempen Liga Super 2023 dengan rentak kemenangan apabila menewaskan PDRM FC 4-0 sekaligus merampas seketika kedudukan teratas liga dari Johor Darul Ta’zim.
Pengendali, Datuk Ong Kim Swee menurunkan tujuh muka baharu dalam kesebelasan utama dengan empat lagi pemain senior yang dilihat berjaya mempamerkan aksi yang mantap sejak dari wisel permulaan.
Saddil Ramdhani menyumbang dua gol buat skuad Badak pada minit ke-12 dan 71 manakala kapten pasukan, Park Tae-su dan Stuart Wilkin masing-masing menambah satu lagi gol untuk memberikan kekalahan pertama kepada pendatang baharu Liga Super itu.
Sabah FC memulakan kempen Liga Super 2023 dengan kemenangan besar di laman sendiri.#LigaSuper2023 pic.twitter.com/cNLCz9Ajat
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 25, 2023
Sabah ternyata menguasai keseluruhan permainan dengan pergerakan bola yang pantas dan berjaya mengambil kesempatan dengan serangan balas yang memerangkap pertahanan PDRM.
Tidak banyak yang mampu dilakukan barisan PDRM untuk menyekat gerakan Sabah mahupun mencipta gerakan dan akhirnya terpaksa mengakui kehebatan Sabah dan kini perlu memperbaiki persembahan untuk perlawanan seterusnya menentang Perak di laman sendiri.
Kemenangan ini pula sudah tentu memberikan semangat buat Sabah untuk memburu kemenangan kedua apabila sekali lagi bertemu pasukan yang baharu dinaikkan pangkat ke Liga Super, Kelantan United.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang, Kuching City FC meraih kemenangan pertama dalam Liga Super apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kelantan FC 2-1 di Kota Bharu menerusi jaringan Abdalla Sudi dan Abu Kamara.