PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak enggan mendedahkan punca sebenar keputusan seri yang diraih pasukannya berdepan Penang FC dalam saingan Liga Super pada Ahad.
Jika dilihat daripada reaksi wajahnya, jelas Hodak tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, namun enggan memberikan sebarang kenyataan berikutan denda yang bakal dikenakan sekiranya menyatakan keburukan pengadil.
“Setiap kali saya berjalan ke pintu masuk, saya berfikir samada saya hendak bercakap tentang pengadil atau tidak. Selepas itu, saya berfikir kenapa kita tidak boleh komen tentang pengadil.
“Jikalau saya bercakap tentang pengadil, saya akan kena denda. Kenapa pengadil tidak hadir dan beritahu pendapat dirinya, tolonglah jadi adil.
“Kita ingin bercakap tentang perlawanan bukan hendak menyalahkan pengadil. Saya tidak boleh beri anda apa apa kenyataan,” ujarnya ketika ditemui semasa sidang media selepas perlawanan KL City FC berdepan Penang FC.
Biarpun surat dan video bantahan akan dibuat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun dia menegaskan tiada apa yang bakal berubah kerana undang-undang bola sepak di Malaysia tidak membenarkan pengadil dikritik secara telus.
Pun begitu, Hodak mengakui terdapat kesilapan individu pemainnya yang dilakukan sehingga menyebabkan lawan berjaya menyamakan kedudukan namun itu bukanlah sebab utama mereka tewas.
“Kami akan hantar surat dan video kepada FAM. Tetapi apa gunanya , apa yang akan berubah? Boleh anda beri saya dua point? Tak boleh. Boleh anda beri bonus kepada pemain saya? Tak boleh. Dan saya tidak boleh beri anda kenyataan tentang perlawanan. Ia sangat menyedihkan kenapa saya tidak boleh komen secara jujur.
“Ia adalah kesilapan individu. Sesetengah pemain hendak menunjuk pandai tetapi ini bukanlah punca sebenar apa yang terjadi kepada kami di perlawanan ini. Saya akan tunjuk video kepada mereka kesilapan kami tetapi ini bukanlah punca mengapa kami seri pada hari ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut memuji sumbangan pemain naturalisasi pertama KL City FC, Paulo Josue yang berada dalam mood terbaik menjaringkan dua gol untuk kelab tersebut.
“Paulo bermain dengan baik dan dengan mood yang baik. Ia baik untuk pasukan dan kelab,” katanya.