SELURUH pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC mendapat pujian berharga daripada Nafuzi Zain selepas bangkit mempamerkan aksi bertenaga membenam Perak FC 4-1 saingan pembukaan Liga Super 2023.
Walaupun mengakui agak bergelut semasa awal babak pertama, kesungguhan semangat Sang Kenari yang tidak putus asa berjaya menuai tiga mata untuk bersaing dalam kelompok atasan liga.
“Alhamdulillah. Tiga mata yang penting. Tahniah untuk pemain saya dari awal agak sukar selepas menerima tekanan pasukan lawan.
“Tahniah buat Perak yang menunjukkan satu persembahan begitu bertenaga serta pemain muda mereka.
“Kemenangan ini menambahkan keyakinan kita untuk bersedia perlawanan kedua menentang Terengganu di laman sendiri,” katanya dalam sidang media di Stadium Perak pada Sabtu.
📸 Aksi Liga Super 2023 – LS1
Perak FC 1-4 Kedah Darul Aman FC#LigaSuper2023 pic.twitter.com/6CYOYZ65xb
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 25, 2023
ARTIKEL BERKAITAN : Kedah FC belasah Perak aksi tegang ‘derby’ utara
Nafuzi juga kelihatan tenang apabila diajukan soalan mengenai prestasi keseluruhan skuadnya kerana disifatkan masih lagi belum mencapai tahap permainan seperti yang diharapkan.
“Kita boleh tingkatkan benda itu. Skuad ini masih baru dan segala kelemahan kena perbaiki untuk berjumpa pasukan lebih bagus dan hebat.
“Ada pemain asing yang kali pertama main di Liga Malaysia dan juga pemain tempatan yang tidak merasai tekanan sebegini bermain di kelab negeri yang besar.
“Kita tahu main away dan home berbeza. Ada penyokong ramai yang sokong terutamanya apa yang Perak dapat pada awal permainan.
“Kita mendapat semangat dan suntikan moral untuk bermain di tempat sendiri,” katanya.