ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua penyokong industri sukan tanah air.

Pertama penulis ingin merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak di mana hari ini dengan kerjasama pelbagai pihak, portal Flash Sukan dapat dilancarkan.

Sudah pasti usaha ini bukanlah satu tugas yang mudah tetapi berkat komitmen serta keghairahan terhadap sukan menyaksikan hari ini portal Flash Sukan ditubuhkan.

Sudah pasti di pihak Flash Sukan berharap kehadiran kami bukan sahaja dapat memeriahkan industri media tempatan sebaliknya dapat menjadi satu salah tunjang kepada pergerakan sukan negara ke arah lebih yang positif. Mudah-mudahan, InsyaAllah.

Hari ini bersempena julung kali portal Flash Sukan membuat penampilan, penulis berminat untuk bercakap mengenai kestabilan kelab-kelab dalam industri bola sepak negara.

Sejak kebelakangan ini, kita telah disajikan beberapa kelab dalam Liga Malaysia sedang bergelut dengan masalah kewangan dan agak mengejutkan kita semua adalah kelab yang berdepan masalah itu merupakan pasukan yang memiliki tapak penyokong yang besar tetapi ironinya, mereka dilihat gagal bertahan dengan baik.

Mana silapnya? Jika kita menyaksikan perkembangan Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) telah menguatkuasakan persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) bermula tahun 2020.

Langkah ini adalah bersesuaian dengan landasan bola sepak moden di mana penjenamaan atau penswastaan kelab dalam industri bola sepak negara diharuskan demi keperluan nilai komersial semasa.

Bagaimanapun, kita semua menerima tamparan apabila semua sektor berdepan detik hitam sejurus pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada Mac 2020 lalu sekali gus membantutkan usaha sulit kelab-kelab Liga Malaysia mencari penaja atau sentimen komersial pada debut penswastaan kelab.

SUBSIDI: PENAWAR ATAU BARAH?

Secara peribadi, penulis melihat beberapa karakter kelab dalam Liga Malaysia sepanjang tempoh pandemik. Ada yang berjaya dan ada yang berlaku sebaliknya.

Untuk berlaku adil, penulis juga memahami sentimen atau kesulitan kelab-kelab yang dihadapi ketika berusaha mencari dana dalam tempoh mencabar ini tetapi dalam masa yang sama, penulis perasan bahawa kebanyakan kelab-kelab amat bergelut untuk terus stabil dalam industri bola sepak negara.

Bercakap mengenai masalah gaji, ia bukanlah satu isu baharu buat Liga Malaysia. Ia telah wujud sebelum pelaksanaan penswastaan kelab itu sendiri.

Hari ini masalah yang sama masih timbul untuk beberapa kelab di mana penulis terbaca satu laporan di mana terdapat satu kelab yang telah bertemu dengan pihak kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan kemelut masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Sebenarnya, isu subsidi atau bantuan daripada pihak ketiga ini sebenarnya telah lama dipraktiskan dalam sukan bola sepak negara tetapi realitinya semua pihak dapat menyaksikan betapa sukarnya buat sesetengah pihak untuk bergerak sendiri selepas ‘dibuai’ subsidi sekian lama.

Secara peribadi penulis berpendapat pelaksanaan penswastaan kelab ini telah diperkenalkan oleh MFL secara tidak langsung membuka mata penulis di mana sesetengah kelab Liga Malaysia sebenarnya berdepan masalah sikap, bukannya peraturan itu sendiri.

Jika penulis tersilap, kenapakah kelab yang tidak memiliki tapak penyokong kukuh pula lebih stabil jika dibandingkan dengan pasukan yang penulis maksudkan di atas? Tepuk dada tanyalah hati.

TEGURAN TUNKU ISMAIL MENJADI KENYATAAN

Buat sekian lama, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengingatkan kepada semua kelab agar bergerak dengan lebih dinamik serta profesional dalam industri bola sepak negara.

Malah penulis masih ingat lagi di mana dakwah Tunku Ismail berhubung penyakit subsidi kelab iaitu kebergantungan dana daripada kerajaan negeri tidak memberikan manfaat sepenuhnya kepada kelab bola sepak dalam era zaman moden hari ini.

Pemain-pemain Perak FC terus berjuang biarpun kemelut isu gaji dan pengurusan belum ada noktah. Foto: MFL

Hari ini titah Tunku Ismail bukan sahaja tepat tetapi baginda telah berjaya membuktikan beberapa permasalahan bakal berlaku jika sesebuah kelab itu gagal diuruskan dengan baik dengan sekadar bergantung kepada subsidi tanpa berkerja keras mencari dana dengan gaya sendiri.

Tak ramai juga senang dengan titah Tunku Ismail dan penulis juga sendiri berasa hairan mengapa segelintir pihak mengecam baginda yang menjadi individu membentuk industri bola sepak menjadi jauh lebih bagus dan profesional berbanding mengecam pihak yang mencemarkan nama baik Liga Malaysia.

Benarlah kata pepatah, rambut sama hitam tetapi hatinya kita belum tahu apa yang ada di dalam lubuknya.

Penulis berharap vokal Tunku Ismail terus lantang dalam babak bola sepak negara kerana kelab harus berubah sikap dalam memastikan permasalahan tunggakan gaji tidak akan lagi berlaku di masa akan datang walaupun penulis sendiri meramalkan ia agak sukar untuk melihat sesetengah kelab bebas daripada penyakit subsidi.

Kata orang, jika tidak cuba kita tidak tahu. Nasihat penulis, kita belum terlambat untuk berubah dan penulis yakin penyokong-penyokong lebih teruja untuk menyokong pasukan mereka jika diuruskan dengan lebih profesional dan bijak berbelanja mengikut kemampuan, bukannya semata berlandaskan komestik dengan memburu tenaga pemain import yang akhirnya terjerat dengan masalah kewangan.

Akhir kata daripada penulis, realiti dan fantasi adalah dua perkara berbeza. Bangunlah kelab-kelab Liga Malaysia.!