“PERKARA pertama yang saya fikir selepas berlaga adalah bagaimana keadaan Miji (Izham Tarmizi)”, jelas Hasbullah Abu Bakar yang terlibat dalam insiden pelanggaran dalam kotak penalti ketika aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Insiden pada penghujung babak pertama itu menyaksikan Izham terpaksa diusung keluar dan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala Hasbullah mampu meneruskan perlawanan.
Hasbullah yang ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan jelas bimbang dengan keadaan yang menimpa bekas rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim itu dengan dia sendiri mengalami kecederaan di belakang kepala.
Izham yang menyertai Sri Pahang menerusi pinjaman daripada JDT melakukan debut bersama skuad Tok Gajah dan mempamerkan aksi yang memberangsangkan sepanjang berada di dalam padang meskipun tewas kepada jaringan Casagrande pada minit ke-21.
Pengendali Sri Pahang ketika ditemui semasa sidang media juga masih belum dapat memastikan tahap kecederaan yang dialami Izham dan berharap dia tidak mengalami kecederaan yang teruk dan mampu kembali bersama pasukan untuk perlawanan seterusnya.
Tinjauan di laman sosial peribadi suami kepada selebriti Mia Ahmad itu pula menunjukkan Izham sudah mula berkongsi ucapan semoga cepat sembuh yang diucapkan oleh rakan-rakan seperjuangan serta teman-teman rapatnya.
Dalam aksi pada Ahad, pengganti Izham, Zarif Irfan Hashimuddin berjaya menggalas tugas dengan baik dan berjaya mengelak dari dibolosi pada babak kedua untuk membantu Sri Pahang membawa pulang satu mata ke Kuantan.