PEMAIN perseorangan badminton lelaki negara, Liew Daren telah memperoleh banyak pengalaman berguna sejak menjadi jurulatih separuh masa perseorangan sensasi negara, Lee Zii Jia.

Sejak awal tahun ini, Daren telah memainkan dua peranan iaitu sebagai pemain dan jurulatih untuk pemain no.4 dunia itu, tetapi tiada banyak perubahan yang berlaku kepada corak permainan Zii Jia.

“Membimbing Zii Jia bukanlah suatu cabaran yang besar. Cabarannya adalah untuk mencari jalan untuk mengekalkan konsistensi Lee Zii Jia sepanjang perlawanan.

“Semasa saya bermain dahulu, saya hanya fikir tentang diri saya sebelum ini tetapi kini saya harus melihat permainan dari perspektif Lee Zii Jia juga.

“Dalam masa yang singkat sebagai jurulatih separuh masa, banyak perkara baharu yang saya pelajari. Semua pengalaman ini akan menjadikan saya semakin baik dari hari ke hari.

“Semua pemain handalan akan merasai berada pada tahap bawah dalam karier mereka. Saya rasa ini adalah saat yang sangat genting untuk Zii Jia. Dia beraksi dengan baik pada awal musim lalu.

“Setiap pemain berbeza dan saya harap Zii Jia dapat mengembalikan keyakinannya dalam perlawanan seterusnya. Ianya perlukan proses,” jelasnya.

Sementara itu, Daren tidak pasti sama ada dia akan membimbing Zii Jia secara sepenuh masa atau kekal dengan jurulatih separuh masa seperti yang dilakukannya sekarang ini.

“Untuk berlaku jujur, saya masih belum ada idea. Saya masih mempertimbangkan beberapa perkara. Saya belum menentukan penghujung karier saya lagi tetapi buat masa sekarang saya akan terus bermain,” katanya.

Pemain berusia 35 tahun itu akan terus menyahut cabaran mengendalikan dwitugasan iaitu sebagai pemain perseorangan negara serta menjadi jurulatih separuh masa Lee Zii Jia dalam kategori perseorangan lelaki.

Daren tidak meletakkan sebarang sasaran dalam Terbuka Jerman kali ini, lebih-lebih lagi selepas baru pulih dari kecederaan betis yang mengakibatkan dia terpaksa menarik diri dari Terbuka Malaysia bulan lalu.