BEKAS pemain remaja kebangsaan, K.Letshanaa membayangi kejayaan Justin Hoh ketika kedua-duanya muncul juara perseorangan lelaki dan wanita Cabaran Antarabangsa Uganda pada Ahad.

Letshanaa, pertama turun ke gelanggang akhir mencapai kemenangan bergaya  di Kampala selepas menewaskan pemain Turkey, Neslihan Yigit 21-11, 21-8.

Pemain berusia 20 tahun itu, meninggalkan kem badminton kebangsaan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2020, akibat kecederaan belakang, mula menampakkan perkembangan positif.

K Letshanaa, berada dalam skuad Piala Uber negara 2021.

Pemain di ranking ke-112 dunia itu, membuat penampilan semula Ogos tahun lalu dengan bermula di ranking ke-530.

Terdahulu di separuh akhir, Letshanaa mengatasi pemain Akademi Badminton Malaysia Tan Zhing Yi, 21-17, 21-16.

Kebangkitan semula Letshanaa itu mungkin akan membuka peluang buatnya untuk mewakili skuad kebangsaan sekali lagi

“Jika diberi peluang, saya akan cuba tapi semuanya bergantung kepada keputusan jurulatih kebangsaan,” kata Letshanaa, ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk mewakili negara ke Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Prestasi membanggakan K Letshanaa diharap memeriahkan lagi senario badminton tanahair.

Sementara itu, Justin Hoh, 19, turut meraih kejuaraan pertama tahun ini selepas mengatasi pemain India, M Kanishq di final kejohanan sama.

Justin tiada masalah menundukkan pemain kelayakan itu, 21-8, 21-12.

Justin Hoh meraih gelaran pertama 2023 selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Uganda.

Pada pertengahan Januari lalu, Justin mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Estonia, muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Iran Fajr, sebelum menjuarai Cabaran Antarabangsa Uganda ini.

Pemain harapan negara ini akan mengambil bahagia di kejohanan berstatus Super 100, China Masters, pertengahan Mac depan.