PERTEMBUNGAN PDRM FC dan Perak FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Selasa pastinya menjadi medan terbaik buat kedua-dua pasukan untuk meraih mata pertama dalam Liga Super musim ini.
Ini selepas kedua-dua pasukan dibelasah lawan masing-masing pada perlawanan pembukaan hujung minggu lalu dengan PDRM tewas 0-4 kepada Sabah FC manakala Perak terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 kepada Kedah Darul Aman FC.
Kini kedua-dua pasukan ini bakal bertemu dan kemenangan akan membawa salah satu pasukan keluar dari zon bawahan dan pasukan yang tewas akan diletakkan sebagai calon pasukan lubuk tiga mata buat lawan.
The Bos Gaurus visits The Cops! 👮🏻♂️
Next match we welcome Perak FC to MPBJ Stadium tomorrow! 🔵🔴#pdrmfc #sangsakabiru #upthecops #atourownpace #pdrmprk pic.twitter.com/NuXfxWGgvi
— PDRM Football Club (@officialpdrmfc) February 27, 2023
Pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz berkata dia akan melakukan penggiliran pemain kerana jadual yang padat selain perlu menukar beberapa taktikal ketika berhadapan Perak yang dibarisi pemain muda yang mempunyai kelajuan terutama di bahagian sayap jika mahu sasaran mengutip tiga mata di laman sendiri menjadi kenyataan.
Sementara itu, pengendali Perak Datuk Lim Teong Kim pula tidak gusar dengan ketiadaan dua tonggak akibat dilayangkan kad merah tempoh hari sebaliknya dia yakin pemain yang akan menggantikan tempat mereka itu akan memberikan aksi yang terbaik dan membanggakan.
Rekod musim lalu di Liga Premier memihak kepada skuad Sang Saka Biru yang berjaya memenangi kedua-dua perlawanan dengan kemenangan 3-1 di Ipoh dan 2-0 di Cheras ketika itu.
Skuad Kejor Yob Kejor mungkin mempunyai sedikit kelebihan dengan mendapat sokongan daripada para penyokong Perak di Lembah Klang yang akan menaikkan lagi semangat para pemain.
Mampukah Sang Saka Biru melakukan sekatan terhadap kelajuan Sang Seladang, pastinya satu permainan yang menarik untuk disaksikan.