KUALA Lumpur City FC kini semakin giat menambah baik pasukan untuk menjadi kelab profesional yang lebih baik sesuai dengan kehendak bola sepak moden.
Terbaharu, KL City mula menggunakan kepakaran sains sukan untuk meningkatkan lagi prestasi pemain dalam sukan berprestasi tinggi menerusi kerjasama mereka dengan Malaysia Genomics Resources Center Berhad.
Kerjasama itu akan menyaksikan Kumpulan menjalankan analisis DNA pemain dan menyediakan perundingan kepada pemain dan kakitangan kejurulatihan mengenai keputusan genetik berhubung peluang praktikal untuk meningkatkan fisiologi sukan, pemakanan, kekuatan dan penyesuaian, pencegahan kecederaan dan pemulihan.
KLCFC akan berkongsi maklum balas dengan Kumpulan berkaitan keputusan dan hasil pengubahsuaian kepada protokol latihan, pemakanan dan pemulihan sedia ada pasukannya selepas penggabungan keputusan genetik.
Malaysian Genomics, KL City FC bekerjasama tingkatkan prestasi pemain menerusi pemeriksaan genetik | DagangNews https://t.co/E7Nl2Yhn1A
— DagangNews.com (@DagangNews) February 27, 2023
Segala input yang diberikan pasukan analisis ini pula akan digunakan KL City ketika sesi latihan dan semua maklum balas yang diterima akan dihantar semula bagi memastikan keberkesanan program yang dilakukan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pemilik Majoriti Kuala Lumpur City FC, Azri Datuk Seri Noor Azerai menerusi hantaran di laman Twitter peribadinya pada Isnin menjadikan KL City antara pasukan yang menekankan kepentingan sains sukan seperti yang dilakukan Johor Darul Ta’zim ketika ini.
Analisa genetik kini menjadi sebahagian daripada keperluan dalam bola sepak moden kerana hasil yang diperolehi daripada ujian ini secara langsung akan membantu pemain memahami keadaan tubuh mereka sendiri untuk memberikan prestasi yang optimum.
Keputusan ujian genetik ini juga berbeza berdasarkan setiap pemain dan ini boleh membantu barisan kejurulatihan menentukan tahap latihan dan juga membantu doktor dan pakar nutrisi pasukan untuk menyediakan pemain menjelang hari perlawanan.
Sementara itu Ketua Projek Khas dan Kualiti Malaysian Genomics Dr Nurul Aqma Anis berkata, pihaknya telah mula menawarkan ujian saringan genetik pada 2012, Malaysian Genomics ialah syarikat DNA yang paling mantap di Asia Tenggara.
“Ujian genetik kami untuk prestasi olahraga puncak adalah salah satu terkini dalam portfolio ujian kami. Bekerjasama dengan pasukan sukan profesional seperti KLCFC, antara lain, kami boleh memantau kesan dan hasil pengesyoran berasaskan genetik untuk latihan dan pemulihan olahraga, memastikan ujian genetik kami dan pengesyoran yang terhasil menawarkan maklumat dan faedah praktikal untuk atlet profesional dengan aksi perlawanan hujung minggu,” jelasnya dalam satu kenyataan.