PENCAPAIAN Datuk Azizulhasni Awang di Kejohanan Piala Negara-Negara, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) baru-baru ini membuktikan jaguh pecut trek negara itu memiliki mentaliti seorang jaguh sebenar.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, segala halangan yang boleh mengehadkan pencapaian seseorang atlet, digunakan anak jati Terengganu itu sebagai cara memperbaiki pencapaian diri.
Katanya, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dicontohi atlet lain supaya memiliki mentaliti sama.
“Apabila tengok Datuk Azizulhasni, beliau ada kelaparan untuk menang, memperbaiki diri. Ini mentaliti jaguh yang kita perlukan dalam setiap atlet walaupun menjalani pembedahan,” kata Hannah kepada media selepas Hari Terbuka KBS di Menara KBS.
“Beliau tak tidak mudah memberi alasan dan ia sepatutnya ada dalam setiap jaguh sukan. Azizulhasni sangat cemerlang dalam aspek ini berbanding atlet lain, dia tak bagi alasan tetapi menggunakan kekangan dialaminya untuk memperbaiki diri.
ARTIKEL BERKAITAN : Permulaan baik Azizulhasni kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024
“Harap beliau boleh membantu atlet lain untuk perjuangkan pemikiran sama. Dalam sukan, ketahanan fizikal adalah faktor tetapi ketahanan mental adalah paling penting untuk pastinya anda bertahan apabila memulakan perlumbaan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jaminan KBS untuk terus membantu pelumba berusia 35 tahun berkenaan dalam persediaan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, beliau berkata: “Dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan jawatankuasa ‘Road to Gold’, saya sedang memperkemaskan semua perkara dan akan membuat pengumuman nanti. Bagi saya dua minggu, (KBS) akan memperkemaskan semuanya,” kata Hannah.
Di Kejohanan Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Azizulhasni memenangi pingat perak dalam acara keirin namun ketujuh untuk acara pecut selepas mengakui kepenatan.
Kejohanan terbabit dimasukkan dalam kalendar UCI sebagai kejohanan bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.