PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) kini dibahagikan tugas berbeza demi pembangunan untuk melihat lebih banyak kejayaan dilakar di peringkat antarabangsa.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria menjelaskan BAM kini akan menumpukan terhadap urus tadbir badminton dan soal pengurusan dalaman badminton negara.
Manakala, dia turut menegaskan bahawa Akademi Badminton Malaysia pula bakal diurus oleh sebuah badan profesional dan mempunyai satu badan teknikal memantau perkembangan seseorang pemain.
“Perubahan dari BAM yang menjadi badan untuk menjaga pusat berprestasi tinggi (ABM) telah ditukar kepada pusat berprestasi tinggi berasingan.
“BAM hanya terlibat dalam urus tadbir badminton manakala ABM ini dikendalikan oleh satu pasukan profesional.
“Satu pasukan profesional ini mempunyai CEO iaitu Michelle Chai yang juga dibantu oleh Dr. Tim yang menjaga bahagian kejurulatihan tinggi dan Dr. Suresh yang menjaga operasi pentadbiran.
“Di samping itu, pihak jurulatih perseorangan diketuai Wong Choong Hann dan beregu diambil alih Rexy Mainaky. Datuk Misbun Sidek mengambil alih dari segi pembangunan remaja.
“Apabila kita mempunyai jejak sebegitu, mereka yang berada di BAM ini memerlukan satu badan yang bukan sahaja dipantau oleh ahli lembaga pemegang amanah kepada ABM tetapi satu badan teknikal.
“Hari ini mesyuarat adalah pengenalan orang kata tak kenal maka tak cinta untuk kita terangkan apakah peranan ABM kini. Sebentar tadi CEO ABM, Michelle Chai telah membentangkan tentang struktur atlet berprestasi tinggi.
“Kemudian, kita telah memberi peluang kepada pengarah kejurulatihan, Rexy Manaiky dan Wong Choong Hann untuk memberi gambaran apa yang mereka buat,” jelas Norza.
Dalam pada itu, konsep mentoring dari legenda kini akan diperluas untuk membantu jurulatih membimbing pemain-pemain mengikut kategori yang menjadi kepakaran bekas atlet tersebut.
Penambahbaikan ini dilakukan demi melihat lebih banyak idea dan perkembangan pemain untuk beraksi lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Secara keseluruhan, kita juga telah melihat dalam mesyuarat tadi, peranan legenda ini untuk dipertingkatkan. Antara yang telah kita persetujui, mungkin antara mereka kita akan jadi mentoring kepada pemain-pemain.
“Mungkin Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong akan mengambil alih acara beregu. Sudah tentu dibawah pemantauan Rexy Mainaky.
“Dalam perseorangan, mungkin Roslin Hashim , Ong Ewe Hock dan Datuk Lee Chong Wei dapat membantu Wong Choong Hann dan saya katakan pada mereka inilah tanggungjawab kita kerana kita mahukan terbaik untuk sukan badminton negara,” ujarnya.