PERCATURAN Nafuzi Zain memasukkan Fadzrul Danel Nizam serta awang import, Jonathan Boareto Dos Reis di babak kedua mencetuskan impak maksima pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mana tidaknya, pemain tengah berusia 25 itu meleraikan penantian menggunung kira-kira 21,000 peminat setia Sang Kenari dengan gol kemenangan pada penghujung perlawanan yang mendebarkan.

“Syukur Alhamdulillah, kami dapat tiga mata bawa dan ia menambahkan semangat ke depan.

“Kami jangka ia satu pertemuan agak sukar berdepan Terengganu. Saya masuk penuh bersemangat ketika kedudukan terikat 0-0 dan agak tekanan.

“Kami takut Terengganu jaringkan gol,” kata Fadzrul Danel pemain miliki ketinggian 1.82 meter itu semasa sidang media selepas perlawanan di Alor Setar pada Rabu.

 

Untuk rekod, ini adalah jaringan pertama Fadzrul Danel di Liga Super sejak kali terakhir menghasilkan gol ketika menentang Perak pada tahun 2020.

“Ia satu permulaan baik. Suasana dalam pasukan agak terkejut dengan sentuhan Nafuzi dan semasa masuk ke padang. Malah, dalam aksi persahabatan dengan Kelantan stadium juga full house.

“Naluri saya jangka ia akan penuh dan betul apabila penyokong hadir memenuhi stadium,” katanya lega dapat tamatkan kemarau jaringan dan cuba mendapatkan kembali minit permainan.