CHOONG Hon Jian gusar belum cukup bersedia menggalas cabaran bersama gandingan baharu di Cabaran Antarabangsa Thailand minggu depan.

Hon Jian, 23, yang dipasangkan bersama pemain senior, Goh Sze Fei mengakui banyak kekurangan perlu dia perbaiki, jika mahu mendapatkan keputusan terbaik pada kejohanan yang berlangsung di Korat, Thailand, 7 hingga 12 Mac itu.

Bagi menyembunyikan kegusarannya itu, Hon Jian menaruh keyakinan bahawa dia dan Sze Fei masih ada masa untuk memperkemas permainan selain meningkatkan persefahaman di dalam gelanggang kerana dia juga memiliki impian untuk dibuktikan.

“Persiapan berjalan lancar.. tiada masalah dalam latihan. Progres saya dan Sze Fei juga semakin baik walaupun masih ada kekurangan tetapi ia boleh diperbaiki.

“Buat masa ini, kami agak kurang serasi kerana baru bergandingan. Mungkin sekarang persefahaman kami dalam 70 peratus,” katanya, yang turut beraksi dalam acara beregu campuran.

Choong Hon Jian perlu ada keyakinan jika mahu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Hon Jian sebelum ini hanya fokus kepada acara beregu campuran, digandingkan dengan Sze Fei selepas Nur Izzuddin Rumsani mengambil keputusan untuk berpisah dengan gandingannya itu gara-gara prestasi kurang memberangsangkan sejak awal musim ini.

“Saya perlukan adalah ketahanan fizikal dan mental kerana akan bermain dalam dua acara. Selain itu, saya juga perlu berwaspada untuk mengelak daripada mengalami kecederaan.

“Mengenai sasaran di sana, semua orang pun ada sasaran masing-masing tetapi jika kami boleh dapatkan gelaran juara, itu lebih baik. Bagaimanapun, kami hanya mahu fokus satu demi satu perlawanan,” ujarnya.