PERMULAAN serba tidak menjadi Kelantan FC apabila setakat ini telah kecundang dua perlawanan Liga Super 2023.
Semalam, pasukan bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik kalah 4-1 bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur.
Jelas, ia bukanlah persembahan seperti dimahukan pasukan serta penyokong setia The Red Warriors yang tetap mendukung di belakang walau apa jua keputusan diraih.
Namun begitu, Moon-sik percaya pemain akan bangkit menjelang pertembungan seterusnya melayan kunjungan Penang FC di Kota Bharu pada Ahad untuk keluar dari zon bawahan liga.
“Perlawanan akan datang, kami cuba cari solusi dan perbaiki segala kelemahan dan dapatkan keputusan terbaik.
“Perkara terpenting, kami harus cari kemenangan,” katanya.
Gawang Kelantan bocor sebanyak empat kali sepanjang babak pertama, namun perjuangan mereka memburu gol tidak berakhir begitu sahaja.
Bekas pertahanan Malaga CF, Miguel Cifuentes yang masuk sebagai pemain gantian membukukan nama selaku penjaring dengan gol masa kecederaan.