SELEPAS mencatatkan hampir 80,000 penyokong ke stadium pada perlawanan pertama, Liga Super terus berjaya menarik para penyokong ke stadium apabila minggu kedua mencatatkan angka 71,149 orang penyokong di tujuh venue yang berbeza.

Pertembungan klasik Nafuzi Zain antara Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC mencatatkan angka kehadiran tertinggi dengan 21,700 penyokong hadir ke Stadium Darul Aman bagi memberikan sokongan kepada wajah baru Sang Kenari.

Pendatang baharu Liga Super, Kuching City FC memberikan kemasukan percuma kepada penyokong dan berjaya mencatatkan kehadiran seramai 18,000 penyokong ke Stadium Negeri, Kuching yang menyaksikan mereka dibelasah 0-5 di tangan Selangor FC.

Penyokong Sabah FC mengekalkan konsistensi hadir ke stadium apabila buat minggu kedua Stadium Likas dibanjiri lebih 12,000 orang penyokong yang sekali lagi berpuas hati menjadi saksi kemenangan besar skuad Badak keatas Kelantan United.

Dua aksi di Lembah Klang menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya mengaut keuntungan apabila kehadiran penyokong lawan membantu mencatatkan angka kehadiran yang tinggi dengan 2,250 penyokong Perak hadir ke Kelana Jaya manakala hampir 7,000 penyokong JDT hadir di Cheras meskipun dibasahi hujan.

Stadium Bandaraya, Pulau Pinang kembali bergema dengan sorakan penyokong Harimau Kumbang apabila hampir 3,800 penyokong hadir memberikan sokongan manakala lebih 6,000 penyokong memenuhi Stadium Darul Makmur yang menyaksikan Tok Gajah naik minyak membelasah Kelantan FC.

Dengan purata 10,164 penonton, ianya adalah angka yang sihat walaupun beraksi pada pertengahan minggu ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu malah ada yang mengadu tiket yang dijual agak mahal.

Diharap angka ini dapat diteruskan pada perlawanan ketiga hujung minggu ini dengan tiga perlawanan utama menjadi tumpuan di Kelana Jaya, Kuala Terengganu dan Paroi selain Borneo derbi di Kuching selain satu aksi di Alor Star dan dua perlawanan di Kota Bharu.