JURULATIH kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon membawa banyak perubahan kepada prestasi Harimau Malaya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan pada pertengahan Februari tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, ini terbukti apabila buat pertama kali sejak 43 tahun lalu, pasukan bola sepak negara berjaya melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu.

“Dia juga berjaya membuktikan kemampuannya dengan mengetuai pasukan mara ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, sekali gus menepati sasaran ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Justeru pelantikan jurulatih asing bukanlah perkara baharu dalam arena bola sepak dunia dan pelantikan yang dibuat adalah berdasarkan pengalaman dan rekod prestasi bagi membantu atlet menunjukkan prestasi terbaik mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang ingin tahu sama ada kementerian masih percaya dengan kemampuan jurulatih sedia ada dan pemain naturalisasi berdasarkan pencapaian dalam Kejohanan AFF dan ranking terkini Harimau Malaya.

Kombinasi Pan-gon dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin cukup menjadi sehingga Malaysia layak ke pentas Piala Asia tahun depan.

Hannah berkata, kehadiran pemain naturalisasi dalam bola sepak negara juga tidak membimbangkan kerana kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan FAM bagi memastikan pembangunan pemain tempatan menjadi keutamaan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Dari segi kedudukan semasa Harimau Malaya, beliau berkata mereka kini berada di kedudukan ke-145 dalam ranking Fifa, ke-25 di Asia dan kelima di Asean.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Kalam sama ada kementeriannya bercadang untuk mengadakan liga bola sepak semula di peringkat daerah bagi memeriahkan aktiviti belia di daerah khususnya di luar bandar, Hannah berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan FAM.

“Saya percaya melalui inisiatif baharu dalam Bajet 2023, geran sepadan akan membolehkan lebih banyak aktiviti sukan di peringkat akar umbi seperti yang dicadangkan,” katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana geran padanan berjumlah RM50 juta bagi menggalakkan penajaan sektor swasta untuk program sukan terutamanya berasaskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.