KEDAH Darul Aman (KDA) FC berpeluang ke puncak Liga Super jika mengekalkan rekod kemenangan ke atas PDRM FC yang berkunjung ke Alor Setar pada Sabtu.

Skuad Nafuzi Zain kini mengutip enam mata hasil kemenangan terbaharu 1-0 ke atas Terengganu FC tempoh hari dan boleh memintas Sabah, turut berkongsi mata.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah buat Sang Kenari memandangkan PDRM FC seakan mendapat rentak apabila berjaya mencatat keputusan seri menentang Perak di Stadium MBPJ.

“Memang risau, tapi keadaan pemain tidak merisaukan sebab mereka berada dalam mood yang baik, beraksi di halaman sendiri. Jadi untuk buat penyokong gembira, kita akan dapatkan tiga mata.

“Kita tahu PDRM pasukan sedang meningkat dan miliki pemain berkualaiti seperti Bruno (Suzuki Castenheira) yang bersama saya di Terengganu. Mereka ada pemain lokal dan import yang bagus.

“Bukan semudah untuk kita menang esok. Kalau dapat jaringkan gol lebih, ia bonus,” katanya dalam sidang media perlawanan KDA FC menentang PDRM FC di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

Jurulatih kelahiran Kelantan yang lahir pada 27 Oktober 1978 itu tanpa berselindung berkata, ada kemungkinan akan melakukan penggiliran pemain kerana mengharungi jadual padat termasuk menghadapi aksi pusingan pertama Piala FA pada Rabu di Alor Setar.

“Ya, mungkin ada buat rotation. Selepas ini lawan Penang FC dan ia adalah perlawanan sukar. Mungkin saya menilai semasa sesi latihan petang ini sebelum menentukan kesebelasan utama bertemu PDRM,” katanya lega KDA FC bebas daripada masalah kecederaan.

Cuma, katanya, terdapat dua pemain ditimpa kecederaan seperti kapten pasukan, Manuel Ott dan pemain tengah lincah, Manuel Hidalgo.

“Kita pantau semasa latihan dan pasukan doktor akan menilai sebelum membuat penilaian akhir,” katanya.