MUNCUL pemain ranking tertinggi dunia menyertai saingan Terbuka Jerman dan All England, tidak menjanjikan apa-apa kepada pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Malah gandingan yang dilabel selaku pilihan utama pada dua kejohanan itu, masih menganggap, sekiranya mereka melaungkan sasaran pada siri jelajah Eropah itu, termasuk saingan Terbuka Switzerland (pilihan kedua), akan menjadi bebanan kepada mereka.

Ketika diminta mengulas mengenai sasaran pada tiga kejohanan berturut-turut di Eropah itu, Aaron yang juga Juara Kejohanan Dunia 2022 bersama Wooi Yik, bagai mengunci mulut dan berkata: “Memang kami ada sasaran untuk setiap kejohanan tapi saya rasa lebih baik kami fokus kepada setiap perlawanan, kerana ia boleh memberi tekanan kepada kami jika kami nyatakan sasaran.

“Setiap individu berbeza, ada yang tidak suka meletakkan sasaran baru dapat beraksi dengan baik dan ada juga yang perlukan tekanan untuk menghasilkan prestasi terbaik.”

Meskipun sudah bergelar Juara Dunia, Aaron Chia masih menganggap sasaran sebagai bebanan untuk beraksi cemerlang di pentas antarabangsa.

Gandingan itu akan menyertai Terbuka Jerman (7-12 Mac) diikuti All England (14-19 Mac) dan Terbuka Switzerland (21-26 Mac).

Begitupun, Aaron yakin persiapan yang dilakukan bagi menghadapi tiga kejohanan berturut-turut di Eropah itu, pada tahap terbaik.

“Setakat ini preparation daripada segi fizikal dan fitness semua okay. Walaupun kami top seed di Terbuka Jerman namun kami harap takkan beri pressure kepada diri sendiri dan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Pasangan nombor dua dunia yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama Terbuka Jerman itu, dijadual bertemu sama ada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau gandingan Jepun Akira Koga-Taichi Saito pada pusingan kedua.

Selepas Terbuka Jerman, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 itu akan membuka tirai cabaran All England 2023 menentang pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin manakala pasangan tuan rumah, Arthur Boudier-Minh Quang Pham menanti mereka pada pusingan pertama Terbuka Swiss.

Mengulas mengenai cabaran daripada Leo-Daniel di pusingan pertama All England nanti, Aaron berkata mereka perlu berwaspada dengan peningkatan prestasi pasangan Indonesia itu biarpun mempunyai rekod bersih dengan menang semua empat perlawanan sebelum ini sejak kali pertama bertemu pada Terbuka Thailand 2021.

“Kita tahu bukan senang nak lawan mereka walaupun pernah bertemu sebelum ini tetapi kita akan lawan dan sedia 100 peratus” katanya.

Begitupun, Aaron berkata, dia dan Wooi Yik perlu mengekalkan prestasi terbaik dan berada dalam kelompok 8 teratas dunia menjelang Mei, sebaik saingan menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024.