MOHAMED Salah mempunyai misi berganda hujung minggu ini. Selain cuba membawa Liverpool menewaskan Manchester United, Salah juga mengejar rekod gol Robbie Fowler dalam Liga Perdana Inggeris.

Liverpool akan melayan kunjungan United di Anfield, tengah malam ini. Ia merupakan aksi Liga Perdana Inggeris minggu ke-25 yang penting kerana menemukan dua musuh ketat.

Walaupun Liverpool menjadi tuan rumah, Unoted boleh dikatakan lebih hebat kerana mereka berada dalam trend terbaik musim ini. Mereka setakat ini adalah pasukan dengan kemenangan terbanyak di Eropah musim ini, sebanyak 30 kali.

Sementara itu, prestasi Liverpool kembali merudum dan menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk menang dalam tiga pertandingan.

Bagaimanapun, untuk perlawanan Derby Barat Laut, prestasi tidak selalu menjadi ukuran kerana prestij dan kebanggaan dipertaruhkan.

Pemain Mesir itu bukan sahaja mempunyai misi untuk memberikan tiga mata, tetapi juga untuk mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris.

Ketika ini, Salah telah mengumpul 127 gol daripada 207 perlawanan, hanya kurang satu gol daripada rekod Fowler.

“Alangkah baiknya jika dapat mencipta rekod dalam perlawanan besar, terutamanya menentang United. Kami tahu bagaimana persaingan antara United dan Liverpool.

‘Sudah tentu ini akan menjadi motivasi tambahan, tetapi saya gembira jika sesiapa boleh menjaringkan gol menentang United. Saya tidak begitu kisah apabila rekod itu datang, tetapi kami perlu memenangi perlawanan ini kerana kami mahu hampir dengan empat teratas,” kata Salah dalam temu bual bersama Liverpool Echo.

Salah sendiri mempunyai rekod baik ketika bertemu The Red Devils iaitu 10 gol dalam 11 pertemuan. Musim lalu, Salah menghasilkan lima gol dalam dua pertemuan.

“Ya, saya tahu tentang rekod itu, yang ini istimewa. Bagi saya ia sangat istimewa. Apabila saya tiba, dan menjaringkan 31 gol pada musim pertama, saya berkata ‘Saya mahu menjadi penjaring terbanyak Liverpool dalam Liga Perdana’. Saya mengejarnya,” ujar Salah.