TIDAK menyangka akan terpilih mewakili negara ke Sukan Sea Kemboja, Mei depan, Siti Nurshuhaini Azman tekad mahu menghadiahkan pingat buat kontinjen negara, bagi membalas kepercayaan jurulatih.
Meskipun sedar, saingan Sukan Sea bukan mudah buat pemain muda terutamanya dia yang kini berusia 19 tahun, Nur Shuhaini tampil lebih berani selepas beroleh banyak pendedahan di pentas antarabangsa.
“Saya sedar sukar, apatah lagi selepas lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa, tapi ini adalah Sukan Sea kedua saya selepas Hanoi (Vietnam). Sudah tentu saya mahu perbaiki pencapaial tahun lalu, apabila tersingkir pada saingan 16 terbaik.
“Kali ini saya sasarkan untuk mara ke separuh akhir dan jika boleh saya mahu beraksi di final,” kata Nurshuhaini.
Dia yang mengalami kecederaan tumit kaki dan koyak hamstring pada Kejohanan Remaja Dunia, Santander, Sepanyol Oktober tahun lalu, mengakui pengumuman dibuat Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann yang menyenaraikan namanya, agak mengejutkan.
“Selepas mengalami dua kecederaan yang agak teruk, saya mengambil bahagian dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh Perak tahun lalu dan itulah kejohanan terakhir saya tahun lalu,” kata Nurshuhaini.
Pada saingan Cabaran Antarabangsa Uganda dua minggu lalu, dia terkandas di pusingan kedua.
“Sekarang kondisi saya lebih baik, dah ada sedikit keyakinan. Malah dalam latihan.. jurulatih sudah benarkan saya jalani latihan seperti biasa, cuma saya masih trauma,” ujarnya.
Menurutnya, dipilih dia akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Bawah 21 Tahun (B-21) Kebangsaan yang akan berlangsung di Ipoh 15 hingga 19 Mac ini.
“Kejohanan bawah 21 tahun adalah yang terakhir buat saya sebelum ke Sukan Sea Kemboja, jadi saya sasarkan untuk muncul juara pada kejohanan di Ipoh itu, bagi mendapatkan semula keyakinan selepas mengalami kecederaan,” katanya.