NASIB bekas atlet kebangsaan yang bernaung di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) lebih terbela apabila satu perjanjian persefahaman (MOU) antara Yakeb – Genting Malaysia Berhad (GENM) – Akademi Hospitaliti DHS dimetrai.
Menerusi MOU berkenaan, kursus jangka pendek dalam bidang hospitaliti serta pemantauan kepada bekas atlet yang berdaftar di bawah NGO itu akan mendapat manfaat kerjaya bersama GENM.
Ironinya, Kerjasama itu tidak hanya mengambil kira nasib bekas atlet kebangsaan, sebaliknya membuka peluang buat ahli keluarga serta rakan-rakan mereka untuk mendapatkan peluang kerjaya di masa hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kerjasama itu akan menjadi platform dan membuka peluang pekerjaan kepada bekas atlet untuk menceburi bidang hospitaliti selepas mendapt latihan.
“Saya sangat berterima kasih kepada syarikat korporat yang sanggup tampil bekerjasama dengan Yakeb untuk memberi masa depan yang lebih cerah kepada bekas atlet kita.
“Cuma sekarang kita perlu pastikan rakan strategik Yakeb tidak hanya menjurus kepada bidang hospitaliti sebaliknya pelbagai bidang kerana atlet kita juga pastinya mempunyai pelbagai minat.
“Jadi, saya percaya Yakeb akan lebih proaktif untuk mencari rakan kerjasama dalam bidang yang lain juga untuk untuk bersama mereka dalam memberikan peluang pekerjaan kepada bekas atlet.
“Kita tidak mahu hanya melihat dalam bentuk program kebajikan tetapi kita mahu beri peluang pekerjaan kerana ia lebih menjamin masa depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandantangani MOU di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini, hari ini.
MOU ditandatangani antara Yakeb yang diwakili pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed; Ketua Pegawai Operasi GENM, Lee Thiam Kit dan Pengasas Pengarah Kumpulan Akademi Hospitaliti DHS, Dr S Sri Kumar.
Peserta program akan menjalani kursus secara teori di universiti rakan pintar Akademi Hospitaliti DHS iaitu Asia e University selama sebulan sebelum menjalani latihan sambil bekerja di GENM selama enam bulan selain berpeluang meneruskan pekerjaan di sana selepas menamatkan kursus.
Sementara itu, Noorul, berkata kerjasama itu menunjukkan pihak swasta dan korporat kini semakin menghargai pengorbanan dan perjuangan atlet negara selain berharap inisiatif berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya bekas atlet kebangsaan.
“Yakeb memainkan peranan besar bukan sahaja membantu bekas atlet daripada sudut kebajikan dan perubatan semata-mata tetapi juga membantu mereka memperoleh sijil yang diiktiraf, melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
“Di Yakeb, kami berhasrat untuk menjadi pusat peralihan dan skil latihan kesinambungan kehidupan seperti dilakukan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
“Kami juga mempersiapkan atlet untuk menjalani temuduga ataupun ‘grooming courses’ dan kami berharap lebih banyak syarikat swasta mahupun korporat mengambil langkah seperti yang dilakuan Genting Malaysia ini,” katanya.