MUNCUL pilihan utama di Terbuka Jerman, Aaron Chia-Soh Wooi Yik wajib melangkah sekurang-kurangnya ke final.

Pendapat itu disuarakan legenda badminton Denmark, Peter Gade yang memilih pasangan beregu lelaki negara sebagai calon memenangi gelaran Terbuka Jerman 2023.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata, sekiranya juara dunia 2022 itu berjaya menamatkan kemarau gelaran jelajah BWF di Jerman, beliau yakin ia akan menjadi tonik terbaik untuk mereka menjelang kejohanan All England yang akan membuka tirainya selepas aksi di Jerman.

Peter Gade menganggap satu kerugian jika Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mampu melangkah ke final Terbuka Jerman 2023. –Pix from Peter Gade Twitter Account

“Saya tidak sangsi mereka (Aaron-Wooi Yik) antara pilihan untuk menjuarai Terbuka Jerman dan berharap mereka akan menamatkan kemarau kejuaraan jelajah BWF.

“Bagi saya ia satu yang mengecewakan jika pasangan ini tidak berjaya mara ke final (Terbuka Jerman). Kejohanan ini adalah yang terbaik sebagai persiapan mereka menjelang All England.

“Saya tahu ia bukan mudah tetapi ini merupakan platform terbaik buat mereka untuk membina keyakinan selepas aksi yang tidak menentu dalam beberapa kejohanan sebelum ini,” katanya.

Gade mengulas mengenai calon juara Terbuka Jerman dalam satu sesi temubual atas talian yang dikongsi di Twitter.

Aaron sebelum ini enggan menyatakan sasaran kerana bimbang menjadi punca mencetusnya tekanan kepada diri sendiri, satu kelemahan mental yang membelenggu atlet berkelas dunia negara ketika ini.

Pada Terbuka Jerman, Aaron-Wooi Yik mendapat bye di pusingan pertama dan akan memulakan saingan bertemu pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Saito di pusingan kedua, selepas pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri selepas mengalami kecederaan.

Selain Aaron-Wooi Yik, dua lagi beregu profesional turut akan bersaing di kejohanan bertaraf S300 itu ialah gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi  yang akan bertemu Lee Fang-chih-Lee Yang manakala Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong terus ke pusingan kedua selepas gandingan Scotland Adam Hall-Alexander Dunn menarik diri.

Untuk rekod, pada Terbuka Jerman tahun lepas, acara beregu lelaki dimenangi pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang menewaskan gandingan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.