JURGEN Klinsmann baharu tiba di Korea Selatan segera melaungkan sasaran memenangi Piala Asia bersama skuad bola sepak negara itu.

Bekas pengendali Jerman, Bayern Munich dan Amerika Syarikat itu menggantikan Paulo Bento, yang berjaya memimpin skuad bola sepak Korea Selatan ke pusingan kalah mati Piala Dunia di Qatar, sebelum tewas 4-1 kepada Brazil.

“Saya rasa sasarannya sudah pasti untuk memenangi Piala Asia. Menang, itulah matlamatnya. Di Qatar anda buktikan kemampuan menewaskan negara besar.

“Anda tewaskan Portugal di Qatar dan empat tahun lalu anda kalahkan Jerman, jadi anda mampu melakukannya dengan baik dan itulah matlamat kami,” kata Klinsmann.

Klinsmann mempunyai karier gemilang sebagai penyerang ketika mewakili Inter Milan, Tottenham dan Bayern Munich, namun rekodnya sebagai jurulatih menjadi persoalan kepada peminat Korea Selatan.

Jurgen Klinsmann tiba di Korea Selatan untuk memulakan tugas seabgai jurulatih bola sepak negara itu. – AFP

Ketika membimbing Jerman, pada tahun 2004 Klinsmann membawa pasukan muncul pemenang tempat ketiga Piala Dunia 2006 di laman sendiri, tewas kepada juara edisi berkenaan, Itali di separuh akhir.

Pada 2011, beliau dilantik sebagai pengendali Amerika Syarikat tetapi dipecat pada 2016 selepas dua kekalahan di peringkat kelayakan Piala Dunia.

Klinsmann, yang menandatangani kontrak tiga tahun setengah bersama Persatuan Bolasepak Korea Selatan berkata: “Saya tidak sabar untuk belajar sesuatu di sini dan saya harap pasukan juga dapat mempelajari sesuatu daripada saya dan kumpulan saya.

Ujian pertama Klinsmann adalah perlawanan persahabatan menentang Colombia pada 24 Mac nanti.