BOS Chelsea, Graham Potter tampil sebagai lelaki paling lega di London selepas menang agregat 2-1 ke atas Borussia Dortmund dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Kelegaan dan kegembiraannya dizahirkan dengan melepaskan tumbukan ke udara sambil melempar kucupan ke arah peminat selepas kemenangan di London.
Peminat Chelsea kebanyakannya mengejek Potter dengan kuat susulan kekalahan demi kekalahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, namun sebaliknya selepas jaringan Raheem Sterling dan sepakan penalti oleh Kai Havertz membolehkan The Blues menang 2-0 pada malam itu. .
Keputusan 2-0 itu memadam defisit 1-0 pada perlawanan pertama di Jerman, untuk tiket ke suku akhir sekali gus mengimbau kembali beberapa malam hebat Chelsea dalam saingan teratas Eropah sejak 20 tahun lalu.
Bagi Potter, kemenangan itu juga bersifat peribadi: “Tidak dapat dielakkan dalam hidup, awak akan mengalami masa yang sukar dan mempunyai masa yang baik.”
Potter mengakui kepada pemberita mengenai perasaannya selepas memikul banyak beban prestasi suram Chelsea sejak Oktober tahun lalu.
Potter mengesahkan dia mengadakan pertemuan singkat dengan pemilik bersama Chelsea Todd Boehly sejurus selepas perlawanan, yang menyaksikan pemilik Blues sentiasa tersenyum di tempat duduk penonton.
“Saya masih di sini,” kata Potter mengenai keputusan pertemuan itu, sambil ketawa mengenepikan spekulasi bahawa kedudukannya genting dan hanya bergantung kepada keputusan perlawanan menentang Dortmund itu.