KEMENANGAN Penang FC yang dilakar di pusingan pertama Piala FA mungkin bukanlah faktor nasib semata-mata, sebaliknya mengikut perancangan taktikal.

Jelas jurulatih Harimau Kumbang, Chong Yee Fatt corak permainan diterapkan kepada pemain membuahkan hasil sehingga meranapkan impian Kedah Darul Aman FC di halaman ribuan penyokong sendiri menerusi kemenangan penalti 4-3.

“Mungkin sepakan penalti adalah lucky (jackpot). Secara keseluruhannya kami dah bersedia dengan situasi ini.

“Kami tak boleh bermain ikut rentak Kedah. Hanya bermain terbuka dan bunuh (karakter) mereka. Jadi ini adalah perancangan permainan.

“Ya, kami bermain di tempat lawan dengan pasukan sukar dan pulang ke rumah dengan dapatkan kemenangan yang membuat kami gembira,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Aman.

 

Lebih manis, penjaga gawang mereka Shafiq Afifi Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan.

Shafiq Afifi yang pernah mewakili pasukan Malaysia B-19 tahun muncul wira Penang FC dengan menyelamatkan dua penalti dalam penentuan sepakan penalti.

Sementara itu, Fatt Chong akui sebelum perlawanan moral pemainnya merosot kerana mencatat keputusan buruk dalam aksi Liga Super.

“Piala FA salah satu pertandingan. Kita mengharungi perjalanan panjang terus dari Kelantan. Kami menunjukkan kemampuan dan kekuatan mental kami,” katanya.

Penang yang mara sehingga separuh akhir musim lepas kini berada di pusingan 16 terbaik akan berdepan Kuching City FC pada 15 April depan.