EDISI ke-10 acara kayuhan berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur (KL) 2023 menerima 2,500 penyertaan setakat ini, memerlukan kecekapan pengurusan penganjuran.
Justeru, acara yang bakal berlangsung 12 Mac ini, akan membabitkan penutupan 18 laluan utama di bandaraya Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, penutupan jalan utama di tengah kota raya itu akan dilakukan secara berperingkat bermula sekitar 6.30 pagi sehingga tamat acara kayuhan pada 10 pagi.
Laluan terlibat adalah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Conlay, Jalan Stonor, Jalan Kia Peng, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalam Sultan Salahuddin, Jalan Kunching, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan berakhir di Dataran Merdeka.
“Kita nasihatkan orang ramai untuk menaiki pengangkutan awam dan mematuhi arahan serta tanda arah oleh pihak trafik yang bertugas.”
Menurutnya, seramai 144 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, akan membantu kelancaran dan perjalanan acara kayuhan itu.
Pihaknnya juga membuat hebahan penutupan jalan terbabit melalui laman Facebook JSPT Kuala Lumpur, Polis Kuala Lumpur dan OCBC Cycle.
Pada Majlis Pelancaran Pelan Laluan OCBC Cycle 2023 yang berlangsung di ibu negara itu, turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan OCBC Cycle KL 2023 Datuk Naim Mohamad.
Acara kayuhan berbasikal OCBC KL 2023 melibatkan dua kategori iaitu kayuhan sejauh 21 kilometer (km) dan acara dua pusingan sejauh 42km.
Selain itu, penganjur turut memperkenalkan kategori korporat iaitu ‘The KL’s Mayor Ride sejauh 42km untuk pasukan yang terdiri daripada 10 perserta setiap kumpulan.