ATLET lari berpagar wanita negara Farah Syakira Azifsafarin dijangka mampu melakar kejutan di temasya Sukan SEA Kemboja Mei ini biarpun usianya masih muda.
Berusia 15 tahun, atlet 100 meter (m) kelahiran Perak itu dijangka mampu menghadirkan kilauan pingat pada kejohanan dwitahunan itu.
Keyakinan itu dizahirkan jurulatih Muhd Khairi Amri yang memantau prestasi yang ditunjukkan pelari terbabit, pada sesi latihan.
Katanya, Farah Shakira dipersiapkan untuk Sukan SEA menerusi penyertaan pada kejohanan olahraga remaja Asia bawah 18 Tahun (B-18) yang akan berlangsung Tashkent Uzbekistan April ini.
“Saya menjangkakan Farah Syakira mampu untuk buat kejutan di Sukan SEA. Apa warna pingat… saya tak pasti.
“Sebelum ke Sukan SEA, Farah Syakira akan menyertai kejohanan olahraga remaja Asia B-18 yang mana ia akan menjadi medan terbaik untuk persiapan dirinya.
“Malah di kejohanan itu, ketinggian palang acara berpagar, lebih rendah berbanding pada Sukan SEA, iaitu kejohanan senior. Saya lihat situasi itu agak bagus kerana kalau berdasarkan pemantauan, pelumba yang berlari pada ketinggian rendah disusuli ketinggian palang lebih tinggi… ia akan membantu melonjakkan momentum mereka.
“Jadi, ia peluang yang terbaik buat Farah Syakira mencipta sesuatu di Sukan SEA sekiranya dia boleh bagi aksi yang terbaik di Tashkent nanti,” katanya.
Sebelum ini, Farah Syakirah mencipta sensasi, meraih pingat perak di Sukan Malaysia (Sukma) menewaskan atlet yang lebih berusia darinya.