DUA pegawai bola sepak Indonesia telah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh mahkamah pada Khamis selepas didapati bertanggungjawab dalam insiden Tragedi Kanjuruhan yang meragut lebih 130 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain dalam tragedi terburuk yang pernah melanda dunia bola sepak.

Hukuman seumpama ini adalah kali pertama dilakukan oleh mahkamah Indonesia selepas tragedi yang mencetuskan kekecohan dan kemarahan penduduk negara itu terhadap pihak polis yang melepaskan gas pemedih mata secara berbahaya di stadium yang padat dengan penonton di Jawa Timur Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kelab Arema FC, Abdul Haris didapati bersalah atau sebab kecuaian dan dipertanggungjawab kan kerana menjual tiket melebihi kapasiti maksimum stadium itu manakala Pengawal Keselamatan Kelab, Suko Sutrisno dijatuhkan hukuman penjara setahun manakala tiga lagi pegawai polis akan didakwa atas tuduhan kecuaian.

 

Beberapa penyokong Arema FC dari 42,000 yang hadir berlari masuk ke padang selepas tewas kepada seteru utama, Persebaya Surabaya sebelum bertempur dengan polis yang mengakibatkan pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata dalam kawasan stadium, langkah yang telah diharamkan oleh Fifa.

Ini mengakibatkan keadaan cemas dan kelam kabut di kalangan penyokong yang cuba mencari jalan keluar dengan beberapa pagar masih berkunci selepas pengadil menamatkan perlawanan dan kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah akibat sesak nafas dan dirempuh di pintu keluar stadium.

Penganjur perlawanan dan pihak polis menerima kritikan dan pertuduhan salah laku oleh waris mangsa yang mahukan jawapan atas kecuaian yang berlaku hingga menyebabkan kematian para penyokong yang tidak bersalah.

Insiden ini juga mendapat perhatian daripada Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo yang berikrar mahu melakukan transformasi besar-besaran terhadap sukan yang menjadi kegilaan warga ini dan juga mengarahkan Stadium Kanjuruhan itu dirobohkan dan membina stadium baharu mengikut standard yang ditetapkan oleh Fifa.