PEMAIN nombor empat dunia, Lee Zii Jia terus bergelut di peringkat antarabangsa apabila tersingkir di pusingan kedua Terbuka Jerman, biarpun memegang status pilihan pertama kejohanan.

Mengiringinya, satu lagi piihan utama dari negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pada aksi pusingan kedua, Zii Jia tunduk kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao 15-21, 22-20, 23-21.

Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kedua dunia pula tewas dua set berturut-turut kepada gandingan Jepun, Akira Koga, Taichi Saito 13-21, 18-21.

Nampaknya rahsia sasaran di Terbuka Jerman ini terungkai dengan kekalahan awal.

Nasib sama dialami perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang disingkir pemain pilihan kelapan dari Thailand, Pornpawee Chochuwong, 13-21, 10-21.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan sasaran utama di kejohanan All England minggu hadapan, namun berdasarkan prestasi di Terbuka Jerman, mampukah mereka mencabar kejuaraan di kejohanan tertua badminton dunia itu.

Turut kandas di pusingan kedua, pilihan kelima, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong.

Yew Sin-Ee Yi ditunjuk jalan keluar oleh gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-18, 18-21, 18-21, manakala Kian Meng-Wee Kiong pula kalah kepada gandingan Korea Selatan, Kang Mun Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 17-21.

Begitupun, cabaran negara diteruskan dua wakil iaitu beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mencipta kejutan di Terbuka Jerman.

Pearly-Thinaah yang diletakkan selaku pilihan ketiga, tiada masalah mengatasi pemain Scotland 21-18, 21-15, menempah slot suku akhir hari ini dan dijadual berdepan pilihan keenam dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara yang pernah ditewaskan mereka ketika menjuarai gelaran Terbuka Perancis, tahun lalu.

Sementara Tang Jie-Ee Wei mencipta sensasi menewaskan pilihan keenam dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-11, 24-22 untuk ke suku akhir.

Hari ini, gandingan harapan negara bakal berdepan cabaran daripada satu lagi gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang membuat kejutan menybingkir pilihan utama dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higaashino 21-15, 21-16.