VELODROM Azizulhasni Awang di Kampung Balai Besar, Dungun yang siap dibina tahun lalu dijangka mula digunakan secara rasmi seawal-awalnya bulan depan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Wab Sukairi Wan Abdullah, berkata, kelewatan pengoperasian itu berlaku disebabkan masalah yang timbul melibatkan trek velodrom terbabit.

Menurut beliau, masalah itu dikesan ketika sesi ujian oleh barisan pelumba skuad pelapis negara di venue berkenaan yang diadakan pertengahan Januari yang lalu.

“Hasil ujian itu, kita mendapati sebahagian kawasan permukaan trek konkrit tersebut agak beralun dan kerja-kerja pembaikian sedang giat dijalankan kontraktor terlibat.

“Jika diikutkan, tempoh akhir pembaikian sebarang kecacatan projek ini adalah Mac 2023. Jadi tempoh itu perlu dipatuhi dan kita jangka dapat buka velodrom in bulan depan.

“Persatuan Lumba Basikal Terengganu telah merancang satu kejohanan sebagai tanda Velodrom Azizulhasni Awang selamat untuk digunakan pelumba,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, venue terbabit mula dibina pada 2010 dengan kos keseluruhan difahamkan mencecah hampir RM11.8 juta.

Namun pembinaannya menjadi perhatian gara-gara tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekaligus tidak membenarkan kejohanan berstatus dunia dianjurkan di situ.