PENYERANG kelahiran Ghana, Jordan Mintah hampir pasti menjadi taruhan Terengganu FC (TFC) di bahagian serangan bagi aksi Liga Super bertemu PDRM FC pada Sabtu.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, pemain berusia 28 tahun itu diharap akan menyelesaikan masalah ketumpulan penyudah yang dihadapi dalam tiga aksi sebelum ini.
Ianya selepas jurulatih berasal Croatia itu bagaikan sudah hilang sabar dengan prestasi serba tidak menjadi gandingan penyerang utama, Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn.
“Setelah gagal menjaringkan sebarang gol dalam 270 minit, saya harus mencari jalan penyelesaian dan Jordan adalah antara jawapan kepada persoalan tersebut.
“Dia akan diberi peluang dalam kesebelasan utama dan kita harap kelibatnya akan membantu TFC meraih kemenangan sulung musim ini,” jelasnya kepada FLASH SUKAN di Gong Badak.
Turut melegakan Tomislav apabila tonggak tengah, Habib Haroon juga kembali daripada kecederaan hamstring selain Nik Sharif Haseefy dan Mohd. Faiz Nasir.
“Begitupun Omid (Naziri) mungkin diketepikan kerana belum berada pada tahap terbaik untuk diturunkan selain mematuhi kuota pemain asing,” tambahnya lagi.