JURULATIH PDRM FC, Azzmi Aziz mengakui layangan kad merah ke atas penjaga gol, Ramdhan Ab. Hamid menjadi antara punca mereka berputih mata tunduk kepada Terengganu FC (TFC).
Menurutnya, skuad Sang Saka Biru berjaya memberi saingan pada babak pertama sebelum kekurangan seorang pemain menjejaskan corak permainan PDRM FC.
“Bagaimanapun saya tetap memberi kredit kepada barisan pemain PDRM FC kerana bukan mudah beraksi 45 minit kedua dengan hanya 10 pemain.
“Secara keseluruhan saya berpuas hari cuma kami dihukum sedikit kelekaan ketika bertahan dalam situasi bola mati pada hujung permainan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Azzmi menjelaskan, dia berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya yang membuktikan mereka bukan pasukan belasahan meskipun pendatang baharu Liga Super musim ini.
Ujarnya, kekalahan tipis 0-1 kepada TFC harus segera dilupakan untuk kembali bangkit dalam aksi berikutnya dan kembali ke landasan kemenangan.
“90 peratus pemain PDRM adalah muka baharu juga dan bukan mudah berentap dengan pasukan yang berbelanja RM25 sehingga RM30 juta setahun.
“Namun kami bertuah pihak pengurusan sentiasa menyokong dan melihat kepada corak permainan PDRM bukan sekadar bertahan, kami juga berupaya melakukan serangan,” tambahnya.