SELANGOR FC kembali bangkit melakar kemenangan 2-1 mengatasi pasukan dari utara Penang FC dalam perlawanan penuh rancak Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya, pada Ahad.

Jaringan pertama terhasil daripada serangan balas Mohamad Faisal Abdul Halim yang seterusnya disudahkan oleh Ayron del Valle sekali gus menerjah gawang gol tuan rumah pada minit ke-27.

Terdahulu, Penang yang bermain tanpa penyerang tulen sepanjang babak pertama nyaris mendapat jaringan awal di m-23 menerusi sepakan sudut di ambil Hadin Azman tetapi tindakan susulan daripada Rafael Vitor melantun terkena kepala Khairulazhan Khalid dan terselamat seketika gawang pelawat.

Anak buah Tan Cheng Hoe menguasai hampir keseluruhan perlawanan di separuh mata pertama dengan beberapa percubaan dilakukan namun gagal menambah jaringan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat.

 

Bersambung babak kedua, giliran anak buah Chong Yee Fatt cuba membuktikan sesuatu dengan menghasilkan beberapa percubaan berbahaya namun disekat penjaga gol Selangor, Khairulazhan.

Serangan bertubi-tubi Penang untuk menyamakan kedudukan daripada Rahmat Makasuf masing-masing m-58 dan m-59 juga gagal.

Penyokong Haria Penang Haria terus kecewa apabila gol Zaw Min Tun pada m-73 dibatalkan selepas didakwa offside penolong pengadil perlawanan.

Noor Al-Deen Mahmoud muncul wira Selangor untuk gol kemenangan lewat permainan.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan. Rafael Vitor memberi kelegaan sementara buat Penang gol m-87 sebelum Selangor bingkas mencari gol kemenangan menerusi Noor Al-Deen Mahmoud pada penghujung permainan.

Ini kekalahan kedua Penang manakala kemenangan Selangor menjadi tonik dalam menghadapi pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim di Petaling Jaya pada Jumaat.