KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee enggan mengulas lanjut berhubung isu pengadilan ketika aksi bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Ahad malam.

Menurutnya, pengadil adalah sentiasa betul dan tidak boleh dipersalahkan. Biarpun dilayangkan kad merah kerana berlaku bantahan keras, beliau menegaskan akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya memberi sebarang komen terhadap mutu pengadilan yang sepatutnya Sabah FC diberikan sepakan penalti.

“Pengadil sentiasa betul, anda fikir pengadil sentiasa salah. Kita tunggulah. Saya rasa Astro adalah siaran langsung sebentar tadi. Tanya orang yang menyaksikan siaran langsung. Anda meletakkan saya dalam bahaya. Saya sudah pun berada dalam bahaya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan Sri Pahang FC bertemu Sabah FC.

Biarpun sedikit terjejas dengan insiden kad merah tersebut, beliau yakin penyokong Sabah FC akan memihak kepadanya dan terus berdiri di belakang pasukan apabila mereka kembali bermain di Likas.

Tambah beliau, kesulitan tersebut akan menambah semangat mereka untuk beraksi dengan lebih yakin dan bersemangat.

“Tiada perkara yang mustahil berlaku. Apa-apa juga boleh berlaku jadi kita kena bersiap sedia dengan apa jua kesulitan. Bagi saya lagi banyak kesulitan, ini akan menambah lagi semangat perjuangan pemain Sabah dan penyokong Sabah.

“Mereka faham dengan adanya situasi sebegini. Saya percaya mereka akan membantu pasukan apabila kita bermain di Kota Kinabalu,” ulasnya.

Sementara itu, Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berpuas hati dengan keputusan perlawanan meskipun mereka terpaksa bergelut menyaingi Sabah FC biarpun beraksi di laman sendiri.

Fandi mengakui ia satu keputusan yang adil dan merasakan tahap Sabah FC sememangnya lebih berkualiti dari pasukan Sri Pahang FC kerana penyudah mereka lebih berkesan.

“Saya rasa berpuas hati walaupun kita bermula dengan agak lambat sekali permainan kita pada separuh masa pertama, tetapi kita dapat menyaingi mereka semula.

“Mereka tetap dengan finishing atas formasi 3-4-3. Saya rasa keputusan agak adil. Lepas itu kita dapat settle down. Keputusan agak adil tetapi finishing kurang baik. Saya rasa tahap mereka lagi tinggi dari kita,” jelasnya.

Mengulas aksi bertemu Perak selepas ini, pengendali berasal dari Singapura itu menjelaskan Andik dan Sergio Aguero, Azam Azih dan Kpah Sherman merupakan antara pemain yang mahu diturunkan dalam perlawanan seterusnya namun gusar sekiranya mereka masih bergelut dengan masalah kecederaan dan kecergasan.

“Kita hendak turunkan Andik dan Aguero dapat teruskan permainan tetapi dia pun tidak cergas sepenuhnya dan dalam kelelahan. Kita bergantung kepada Azam dan Kpah Sherman untuk perlawanan bertemu Perak. Kita risaukan kecederaan Azam dan Kpah,” ujarnya.