KETUA Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengambil tanggungjawab atas kekalahan ketiga berturut-turut skuadnya dalam Liga Super walaupun menyifatkan pemainnya masih mengulangi kesilapan yang sama.

Dia juga berpendapat pasukan Perak yang menewaskan mereka 2-0 di Stadium Perak, Ipoh itu bukanlah bermain dengan baik tetapi pasukannya yang bermain lebih teruk hingga tewas sekali lagi.

Bekas pengendali Terengganu itu juga mengakui barisan pemainnya banyak memberikan ruang kepada pemain Perak untuk mencipta jaringan dan dalam masa yang sama mereka gagal untuk menyempurnakan peluang yang dicipta.

“Bagi saya Perak tidaklah bermain dengan baik tetapi kami beraksi lebih teruk kerana pemain tidak mengejar bola, lebih kepada ‘ball watching’ dan kita tidak menyempurnakan peluang yang kita ada dan akhirnya kita dihukum.

“Walaubagaimanapun, saya mengambil tanggungjawab keatas kekalahan ini. Pemain bukannya beraksi sambil lewa tetapi mereka mengulangi kesilapan yang sama iaitu melihat pasukan lawan memegang bola,” katanya selepas perlawanan.

Kuching City tewas 0-2 kepada Perak hasil dua jaringan pemain import Korea Selatan, Seo Seonung yang memberikan Perak kemenangan pertama dalam liga dan melonjak ke tangga keenam dengan lima mata.

Kekalahan ini menyaksikan Kuching City kini tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan selepas berjaya memenangi perlawanan pertama dan kini menghuni tangga kesepuluh liga dengan tiga mata dan bakal berhadapan Kedah Darul Aman FC di Alor Star pada 17 Mac.