SENARAI atlet dan peruntukan perbelanjaan bagi Pasukan projek Road to Gold (RTG) Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028, dijangka dibentangkan dalam tempoh tiga minggu lagi.
Penyelaras Projek RTG, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya perlu mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi melakukan penyelarasan selain mendapatkan gambaran jelas mengenai apa yang diperlukan bagi merealisasikan impian membawa pulang pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
“Mesyuarat pertama yang bakal diadakan kelak adalah membabitkan perbincangan dalaman bersama MSN, ISN serta pihak berkaitan. Pada masa sama, kita juga akan senarai pendek atlet yang berpotensi membawa pulang pingat untuk negara dan akan dibentang pada mesyuarat itu.
“Penyelarasan bajet dan keperluan sokongan turut akan dinyatakan namun tidak boleh diumumkan sekarang kerana memerlukan tempoh dua atau tiga minggu,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG bagi menyelaras usaha meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Hannah berkata, pasukan projek terbabit yang terdiri daripada individu elit dan bekas atlet akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.
Sementara itu, Stuart memberitahu peruntukan perbelanjaan keseluruhan projek terbabit tidak dapat diumumkan dalam tempoh terdekat ini memandangkan ketika ini tidak mempunyai maklumat terperinci membabitkan keperluan dan senarai atlet yang akan berada dalam RTG.
“Kita akan mengumumkan peruntukan untuk projek ini sebaik mendapat maklumat terperinci. Sekarang ini adalah mahu menyenaraikan atlet yang berpotensi memenangi emas untuk negara,” katanya.