KETUA Kontinjen (CDM) Sukan SEA Kemboja dan seterusnya, dicabar mengatasi pencapaian terbaik negara ke temasya terbabit di luar negara yang dilakukan pada 2015.

Pencapaian di temasya Sukan SEA Singapura ketika Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohd Norza Zakaria menjadi CDM, kontinjen negara membawa pulang 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa, sekali gus menjadikan pungutan pingat terbaik ketika dianjurkan di negara lain.

“Saya bukan nak cakap kosong, di Hanoi, ketika Datuk Nur Azmi Ahmad menjadi CDM, kontinjen negara membawa pulang 38 pingat emas.

“Ketika saya menjadi CDM pada 2015, kita berjaya memcapai prestasi terbaik kutipan pingat di luar negara dengan 62 emas… saya cabar CDM-CDM seterusnya untuk letakkan benchmark tinggi. Tapi saya tahu Nasir (Datuk Mohd Nasir Ali) kuat berkerja,” kata Norza, pada Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Kemboja ke-32 yang berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Isnin.

Pada temasya di Hanoi tahun lalu, kontinjen negara berjaya mencapai sasaran 39 pingat emas 45 perak dan 90 gangsa namun menamatkan temasya di kedudukan keenam keseluruhan, menyaksikan presrasi terburuk negara sejak 1983.

Sukan SEA Kemboja akan berlangsung 5 hingga 17 Mei ini menjadi kayu pengukur prestasi sebenar kontinjen pasca pandemik, selepas kebanyakan atlet mempamerkan kemelesetan prestasi.

“Kita harap proses pemulihan itu berjalan dengan cepat dan lancar. Saya fikir ini akan menjadi kayu pengukur pasca COVID-19 selepas banyak yang berlaku sepanjang tempoh itu yang mana mereka (atlet) tidak dapat menyertai kejohanan dan berdepan kekangan untuk berlatih.

“Jadi, kali ini ia akan menjadi penanda aras untuk menilai prestasi sebenar atlet negara berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara,” kata Norza.

 

Dalam perkembangan sama, Norza memberitahu sasaran buat kontinjen negara dijangka diumumkan pada bulan depan selepas peneliti dan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Olahraga membentuk skuad terbesar ke Kemboja, dengan 34 atlet yang layak mengikut Kategori A dan 31 lagi di bawah Kategori B sebagai persiapan menyediakan skuad berwibawa pada Sukan Asia Tenggara 2025 dan 2027.

Majoriti anggota kontinjen merangkumi sukan berpasukan seperti badminton, bola keranjang, kriket, floorball, bola sepak, hoki padang, hoki dalam dewan dan bola tampar.

Turut hadir CDM dan Timbalan CDM, Datuk Mohd Nasir Ali, Datuk Shalin Zulkifli serta Sharon Wee.