KEDAH Darul Aman FC (KDA) akhirnya berjaya kembali ke landasan kemenangan selepas kecewa dalam dua perlawanan sebelum ini yang turut menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kedah berjaya menewaskan Kelantan United FC 3-2 untuk terus menambah tekanan kepada pasukan kendalian Tomas Trucha yang kekal di tangga terbawah liga.
Kelantan United memulakan aksi lebih baik berbanding Kedah yang dilihat tercari-cari rentak pada awal permainan dan akhirnya dihukum menerusi jaringan Devid Silva pada minit ke-21.
LIGA SUPER 2023
FT: Kelantan United FC 2-3 Kedah Darul Aman FC
⚽ Devid Silva 21', Yan Victor 88'
⚽ William Lira 34', Manuel Hidalgo 45', Al Hafiz Harun 79'#LigaSuper2023#KelantanUnitedFC#PulunKedahPulun pic.twitter.com/RmpDPrWNZN— Flash Sukan (@FlashSukan) March 13, 2023
Gol itu berjaya menambah semangat pasukan Kelantan United dan berpeluang menggandakan kedudukan namun dikecewakan penyudah yang tumpul dan Kedah akhirnya dapat menyamakan kedudukan pada minit ke-34.
William Lira melonjak tinggi untuk menyambut sepakan sudut Lee Tuck untuk gol kedua peribadinya sejak menyertai skuad Sang Kenari sebelum kesilapan pertahanan Kelantan United menghadiahkan penalti kepada Kedah yang mudah disempurnakan Manuel Hidalgo pada penghujung babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Kedah menggandakan asakan untuk mencari tambahan jaringan dan akhirnya peluang itu muncul pada minit ke-79 apabila pemain gantian, Al Hafiz Harun menyempurnakan bola muntah sepakan Jonathan Balloteli untuk gol ketiga Kedah.
Ketika perlawanan menghampiri wisel penamat, Kelantan United dihadiahkan sepakan penalti dan berjaya dijaringkan oleh Yan Victor untuk merapatkan jurang sekaligus menambah kerancakan perlawanan.
Kedudukan 3-2 kekal hingga tamat dan Kedah berjaya mencatat kemenangan ketiga dalam liga untuk kekal ditangga keempat manakala Kelantan United masih mencari kemenangan pertama dan kekal di dasar liga.