SENARAI akhir pemain sepak takraw negara ke Sukan SEA Kemboja, hanya akan diumumkan pertengahan April.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, barisan 25 pemain negara akan menghadapi perlawanan ujian, menghadapi kelab dari Thailand yang bakal menjadi pentas akhir pemilihan pemain.

“Kita akan menghadapi test match menentang kelab dari Thailand pada 10 hingga 15 April dan selepas  itu kita akan umumkan senarai 12 pemain (lelaki) ke Sukan Sea, begitu juga dengan pemain wanita,” kata Ahmad Jais, pada sesi latihan di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN).

 Ahmad Jais akan memutuskan senarai akhir pemain ke Sukan Sea Kemboja, pada pertengahan April.

Pada sesi latihan itu, dilihat senarai panjang 25 pemain yang dipanggil tidak mencukupi berikutan belum mendapat pelepasan daripada majikan masing-masing.

“Beberapa pemain belum mendapat pelepasan majikan selain mempunyai urusan melibatkan jabatan dan selebihnya.

“Kita sekarang memfokuskan kepada pemain yang akan kita bawa ke Sukan SEA,  dalam masa sama mendapatkan gandingan lebih mantap dalam acara regu dan berpasukan.”

Latihan skuad negara di Gimnasium 3, MSN.

Menurutnya, persiapan skuad negara berjalan lancar dengan setiap pemain memberi komitmen terbaik kepada pasukan.

Ahmad Jais meletakkan komitmen setiap pemain amat penting ketika menggalas cabaran di temasya Sukan SEA Kemboja.

Pada Temasya Hanoi, skuad sepak takraw negara membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa.

Pingat perak diperoleh Regu Berpasukan Lelaki, Regu Lelaki dan Double Lelaki manakala gangsa diraih Regu Berpasukan Wanita, Regu Wanita.