PENGURUS skuad Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menyokong penuh usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan bola sepak di Malaysia.

“Saya rasa kita sebagai pentadbir pasukan, Selangor menyokong penuh usaha FAM dalam meningkatkan mutu pengadilan di Malaysia,” ujarnya selepas Majlis Pengenalan Rakan-Rakan Strategik Selangor FC untuk musim 2023.

Bagaimanapun, mengulas isu membabitkan perlawanan Selangor FC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang mencetuskan beberapa persoalan sehingga menimbulkan kemarahan Dr. Johan (Ketua Pegawai Eksekutif SFC) tentang mutu pengadilan sebelum ini, dia menjelaskan insiden itu perlu dijadikan pengajaran dan FAM juga perlu memantau prestasi pengadil-pengadil dengan lebih efektif.

“Saya rasa perkara yang berlaku sebelum ini telah dijadikan pengajaran yang besar untuk semua pihak. Dalam hal ini isu-isu mengenai kepengadilan perlawanan kita serahkan kepada mereka yang berkuasa dalam hal pengadilan ini untuk memantau prestasi pengadil-pengadil setakat ini,” katanya.

Baginya, dia menegaskan segala ketidakpuasan hati atau keputusan meragukan perlu disalurkan mengikut saluran rasmi FAM dan menunggu siasatan dilakukan terhadap insiden tersebut.

“Dari segi pentadbiran kita, kita ada SOP tertentu bagaimana hendak membuat sebarang aduan. Saya rasa secara jelas dalam artikel tertentu ada menyatakan perlakuan pegawai tidak boleh menegur secara terbuka di media. Kami gunakan saluran rasmi untuk mengutarakan apa-apa aduan dan ketidakpuasan hati,” jelasnya.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Pengenalan Rakan-Rakan Strategik Selangor FC untuk musim 2023.

Dalam pada itu, Mahfizul mengakui rata-rata pemain Gergasi Merah sudah matang dan memiliki pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

Justeru, mereka mampu mengawal emosi dan perasaan ketika berada pada tahap genting atau memerlukan ketahanan mental yang tinggi.

“Pemain-pemain yang kita ada cukup berpengalaman. Contohnya macam di situ sahaja sudah ada lapan atau sembilan perlawanan antarabangsa kan. Jadi dari segi emosi atau kawalan perasaan itu mereka sendiri boleh mengawal. Kita juga berharap tidak ada usaha provokasi dari mana-mana pihak kerana secara tidak langsung mencerminkan sikap tidak ada budaya kesukanan yang tinggi,” tegasnya.