SAYA terus memeluk isteri.” Itulah reaksi awal yang dilakukan pemain naturalisasi baharu negara, Paulo Josue selepas mendapat tahu dirinya dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya untuk perlawanan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Johor Bahru.

Dia menganggap perkara ini umpama mimpi yang menjadi kenyataan dan dia juga berharap dapat memberikan aksi terbaik untuk membantu jurulatih dan Malaysia jika diberikan peluang beraksi oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon.

Pemain yang sudah beraksi selama tujuh musim bersama kelab Kuala Lumpur City FC itu juga tidak tertekan dengan harapan yang diletakkan oleh para penyokong Malaysia kerana ianya adalah petanda mereka percaya kepada kemampuan yang ada padanya.

Josue sudah menjaringkan dua gol untuk KL City musim ini

“Saya sangat gembira kerana sebelum ini ada ura-ura yang mengatakan saya dipanggil ke skuad kebangsaan dan apabila ia benar-benar terjadi ianya sangat menakjubkan.

“Saya terus memeluk isteri saya apabila mengetahui nama dipanggil ke skuad kebangsaan. Ianya adalah umpama mimpi menjadi kenyataan dan berharap saya dapat membantu jurulatih dan Malaysia untuk mencipta kejayaan.

“Harapan tinggi daripada penyokong adalah penambah moral buat saya kerana jika penyokong meletakkan harapan yang tinggi, ini bermakna mereka yakin kami mampu lakukan yang terbaik untuk negara dan saya harap dapat berikan yang terbaik buat pasukan,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif FLASH SUKAN.

Senarai 27 pemain yang dipanggil Kim Pan-gon ke kem latihan pusat skuad kebangsaan

Pemain berusia 34 tahun itu turut menjelaskan dia bersedia dari sudut fizikal dan mental serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan dan taktikal yang bakal diterapkan oleh barisan kejurulatihan dan suasana yang dianggap baru baginya.

“Banyak pemain yang baik akan berada di Johor Bahru dan saya gembira mendapat suasana dan rakan sepasukan yang baharu. Saya juga mahu buktikan saya sesuai dalam sistem KPG dan mahu berikan kebanggaan buat Malaysia.

“Sama ada saya bermain atau tidak semuanya bergantung pada jurulatih tetapi saya sudah sedia untuk bermain dari segi fizikal dan mental serta teknikal. Apa yang diperlukan adalah menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih dan saya bersedia untuk dipilih dalam kesebelasan utama dan berdiri bangga ketika lagu Negaraku dimainkan,” tambahnya sambil tersenyum bangga.

Paulo Josue adalah antara pemain naturalisasi baharu bersama-sama Endrick Dos Santos yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Asia pada 2024.