VIETNAM pada dasarnya membawa seribu satu kenangan bukan sahaja untuk penulis secara peribadi tetapi juga bola sepak negara secara amnya.
Masih segar dalam ingatan saya apabila tersilap destinasi untuk membuat liputan Piala Dunhill di Vietnam pada 1999 bagi sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Sepatutnya penulis pergi ke Ho Chi Minh City yang dulunya dikenali sebagai Saigon tetapi entah macam mana bahagian pentadbiran kami ketika itu membuat tempahan ke Hanoi.
Bayangkan terkejutnya apabila penulis dimaklumkan oleh pegawai imigresen setibanya di Hanoi bahawa kejohanan diadakan di Saigon.
Detik melucukan ini sekadar perkongsian peribadi dalam mengenang kunjungan sambil bekerja ke tanah Vietnam lebih 20 tahun yang lalu.
Ketika itu, Malaysia diletakkan sekumpulan dengan China, Bulgaria dan Korea Selatan. Selepas bermula langkah kanan dengan mengikat Bulgaria 1-1, anak buah Abdul Rahman Ibrahim tersungkur 3-0 di tangan Korea Selatan sebelum diaibkan 7-1 oleh China.
Berbanding pasukan senior yang disenaraikan oleh Abdul Rahman, tiga pasukan lain itu membariskan skuad Olimpik masing-masing.
Namun kekecewaan pada 1999 terubat sedikit apabila Syamsuri Mustafa merakam detik bersejarah menjaringkan gol terus daripada sepakan gol sehingga aksinya itu disiarkan di bawah segmen Play of the Day CNN pada saingan separuh akhir Sukan SEA di Hanoi pada Disember 2003. Perlawanan itu berkesudahan Vietnam menang 4-3.
Ditugaskan membuat liputan untuk akhbar yang sama ketika itu, penulis melaporkan bahawa Syamsuri terkejut dengan jaringan itu, bahkan Allan Harris selaku jurulatih mengakui tidak pernah menyaksikan jaringan sedemikian di pentas antarabangsa.
Akhirnya generasi 2003 mengutip pingat gangsa, menewaskan Myanmar 4-2 menerusi penentuan penalti pada saingan tempat ketiga.
Pada 2018, penulis menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Hanoi. Selepas seri 2-2 di Stadium Nasional hasil jaringan Shahrul Saad dan Safawi Rasid, misi untuk menewaskan Vietnam di gelanggang sendiri tidak tercapai apabila tewas 1-0 di Stadium My Dinh, stadium yang sama yang menyaksikan jaringan menakjubkan daripada Syamsuri.
Penulis menulis kolum ini dari kamar hotel berdepan dengan Stadium My Dinh, dengan harapan anak buah Brad Maloney dapat menumpaskan tuan tumah sekaligus mara ke final dan beraksi di sini.
Sejak acara bola sepak di Sukan SEA dihadkan kepada pemain Bawah 23 tahun pada tahun 2001, Malaysia memenangi pingat emas sebanyak dua kali – pada 2009 di Laos dan 2011 di Jakarta.
Perancang utama Mukhairi Ajmal Mahadi tampil cemerlang setakat ini, dibantu Nik Akif Syahiran Nik Mat untuk menghidupkan jentera tengah bagi membekalkan peluang kepada Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsuddin.
Walaupun memilih jalan sukar apabila terikat 2-2 dengan Kemboja sekali gus terlepas peluang muncul juara kumpulan dan seterusnya membuat temu janji dengan Vietnam pada separuh akhir, sebenarnya garis tipis memisahkan empat pasukan yang mara sejauh ini.
Andai pemain mengekalkan disiplin dan kekal kreatif di barisan hadapan, tidak mustahil Vietnam tertekan bermain di depan penyokong sendiri.
Harapan penulis, semoga semangat Syamsuri yang melakar kejutan pada 2003 menyerap masuk ke jiwa Mukhairi Ajmal dan rakan-rakan. Kali ini bukan sekadar mencipta sesuatu di luar jangkaan, bahkan mencipta kemenangan lantas mara ke final.
Lebih penting, selain kehadiran penyokong-penyokong setia bola sepak negara yang turut turn ke Hanoi, kelihatan juga bekas pengendali Bawah 23 Tahun Datuk Ong Kim Swee yang sanggup terbang ke sini untuk sama-sama memberi sokongan semangat kepada semua pemain.