PERAK FC dan Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) menafikan ada sebarang kaitan dengan sebuah konsesi pasir dan tuduhan lain dilemparkan.
Tuduhan itu mengenai anugerah hartanah dan aset milik kerajaan negeri yang kononnya diberikan kepada kelab tersebut.
Selain tuduhan melibatkan sebidang tanah bernilai RM400 juta dan sebuah kuari di dalam negeri yang telah disebarkan melalui media sosial, tuduhan terbaharu melibatkan penganugerahan sebuah lesen konsesi pasir yang diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan salah seorang ahli teknikal kanan kelab.
“Kami menegaskan tidak menerima sebarang bantuan dana, atau pun diberikan sebarang konsesi daripada kerajaan negeri atau mana-mana anak syarikat kerajaan negeri.
“Berdasarkan pengetahuan kami, konsesi pasir yang dimaksudkan telah diberikan pada bulan Oktober 2021, sebelum IMC terlibat dengan bola sepak Perak,” kata Muhammad Yunus Zakariah, Ketua Eksekutif Perak FC dalam satu kenyataan media.
Perak FC baru-baru ini dikenakan pemotongan mata oleh ‘First Instance Body’ (FIB) dan menghadapi kemungkinan lesen kelab ditarik pada akhir bulan disebabkan kegagalan melunaskan pembayaran gaji bagi tahun 2021.
“Kami dijadualkan bertemu bakal pembeli hari ini. Tuduhan ini berniat jahat, dan merupakan satu cubaan oleh pihak tertentu untuk merosakkan usaha kami untuk menjual milikan Perak FC,” katanya dalam kenyataan itu lagi.